Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Pangkalan Bun: Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia pagi ini dilaporkan sekali lagi cuba menaikkan badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dari dasar Laut Jawa dekat Selat Karimata, Kalimantan Tengah, selepas gagal akibat tali pengangkut terputus dua kali sebelum ini.

Pasukan berkenaan akan mengulangi proses membawa keluar badan pesawat itu menggunakan tali dan jaring pengangkut dengan bantuan belon apungan.

Pengarah Operasi BASARNAS Bambang Supriyadi berkata, berdasarkan kepada dua kegagalan itu, pasukan itu akan menambah baik tali yang digunakan selain teknik pengikatan juga diperkukuhkan untuk cuba menaikkan badan pesawat itu.

"Hasil penilaian, ada masalah daripada segi ikatan tali sebelum ini.

"Setiap kali badan pesawat itu cuba diangkat, tali menjadi terlalu tegang dan gagal menampung berat pesawat terbabit," kata Bambang kepada Kompas.com.

Menurutnya, tali menjadi tegang setiap kali badan pesawat dipukul ombak besar dan ini menjadikan badan pesawat semakin berat serta bergoyang sehingga mengakibatkan tali putus.

"Berdasarkan saiz badan pesawat dan lumpur yang memasuki ruang kabin pesawat itu, kita anggarkan berat pesawat itu hanya sekitar 20 tan.

Bagaimanapun, Bambang menegaskan empat belon pengapung yang digunakan itu mampu mengangkat beban sehingga 10 tan setiap satu.

"Kita merancang untuk membawa sebahagian badan pesawat itu ke Kapal SKK Migas, Crest Onyx untuk dibawa ke daratan,"katanya.

Usaha menaikkan badan pesawat ini menjadi misi utama memandangkan kemungkinan masih banyak mayat mangsa dipercayai terperangkap di dalam pesawat malang itu.

Setakat hari pencarian ke-29, sebanyak 69 mangsa sudah ditemui manakala 92 lagi masih belum ditemui.- Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 2:32 PM