PEMAIN Bradford meraikan kemenangan ke atas Chelsea.
AFP

London: Jose Mourinho menegaskan Chelsea akan segera bangkit daripada kekalahan memalukan di tangan kelab divisyen tiga Bradford pada Piala FA kerana majoriti pemain bintangnya tidak beraksi pada aksi pusingan keempat itu.

Mourinho mengalami satu daripada kekalahan mengaibkan sepanjang kariernya ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris itu mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum kecundang 2-4 di Stamford Bridge, kelmarin.

Kekalahan pertama Chelsea di tangan lawan dari liga bawahan sejak 2008 menamatkan impian memenangi empat trofi utama musim ini dan menyebabkan bos Blues itu mengaku beliau malu dengan persembahan itu.

Namun Chelsea berpeluang besar memadamkan perit kekalahan Piala FA apabila menerima kunjungan Liverpool pada separuh akhir kedua Piala Liga awal pagi Rabu ini selepas seri 1-1 di Anfield minggu lalu.

Manchester City kemudian melawat Stamford Bridge, Sabtu ini pada pertembungan penting yang akan menentukan destinasi kejuaraan.

Mourinho percaya majoriti pemainnya tidak akan terbawa-bawa dengan kekalahan di tangan Bradford ketika beliau melakukan lapan pertukaran pemain menentang kelab Liga Satu itu dengan Eden Hazard dan Cesc Fabregas hanya tampil sebagai pemain gantian dan Diego Costa diketepikan daripada skuad.

“Adakah ini akan menjejaskan perlawanan berikut? Saya tidak tahu kerana ramai pemain tidak terbabit dengan perlawanan itu, saya tidak fikir pemain ini akan terjejas,” kata Mourinho.

“Saya tidak fikir (Branislav) Ivanovic, (Nemanja) Matic, Diego (Costa) yang tidak terbabit dengan perlawanan ini boleh terjejas.

“Namun inilah pasukan kami dan kami tunduk di laman sendiri kepada pasukan liga bawahan. Kami perlu menang perlawanan berikutnya dan melupakan kekalahan ini.”

Mourinho mengakui sebelum perlawanan itu, Chelsea boleh memenangi kejuaraan Liga Perdana andai tersingkir daripada tiga pertandingan piala yang disertai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:43 AM