Selat Karimata: Operasi mencari mayat dan mengangkat fiuslaj pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 diteruskan hari ini, dengan bantuan 81 penyelam Tentera Laut Indonesia (TNI).

Proses mengikat pelampung udara pada fiuslaj dilakukan dengan lebih teliti seawal jam 6 pagi (waktu tempatan) tadi.

Menurut detik.com, semalam badan pesawat AirAsia itu sempat terangkat tujuh meter dari permukaan laut diikuti pelbagai objek milik penumpang sebelum kembali tenggelam ke dasar laut.

Sebahagian penyelam di KRI Banda Aceh kini dikatakan sudah bersedia di kapal Crest Onyx bagi kerja memperkukuh tali pengikat pelampung.

Sama seperti pagi semalam, satu pelampung udara bersaiz 10 tan digunakan untuk melancarkan kerja mengangkat fiuslaj ke permukaan laut.

Berdasarkan pemerhatian detik.com yang berada di KRI Banda Aceh, badan pesawat malang itu sempat mengapung sekitar jam 10.38 pagi tadi namun kembali terhempas ke laut kira-kira dua minit kemudian.

Saat fiuslaj terangkat, satu mayat ikut timbul sebelum dipindahkan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) dengan bot getah ke KN Pacitan.

Selain mayat, beberapa objek berupa serpihan pesawat turut terapung.

Operasi hari ini dijangka sukar berbanding semalam berikutan cuaca mendung dan berangin kencang dengan tinggi ombak sekitar satu hingga dua meter. - detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 12:58 PM