Jakarta: Pasukan penyelam berjaya mengambil mayat yang terperangkap dalam badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar Selat Karimata, hari ini.

Begitupun, kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih berdepan gangguan serpihan terapung serta kabel berbahaya di dalam pesawat sehinggakan penyelam sukar memasuki kabin pesawat.

Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), SB Supriyadi berkata, pasukan penyelam cuba masuk untuk mengalih serpihan namun agak sukar berikutan terlalu banyak kabel berjuntaian seperti sarang labah-labah.

“Apabila penyelam menarik kabel terbabit, air menjadi keruh. Keadaan itu sekali gus mengganggu jarak pandang penyelam.

“Oleh itu, kita terpaksa fokus kepada pencarian mayat dalam badan dulu. Kita bimbang sekiranya pesawat diangkat, kemungkinan ada mangsa yang tercicir dan hanyut dibawa arus,” katanya.

Hingga 12 tengah hari ini, penyelam masih berusaha mengambil sebanyak mungkin mayat dalam badan pesawat.

“Sebelum ini penyelam hanya berjaya masuk sekitar satu meter dan kita harap mereka dapat pergi lebih jauh untuk memindahkan lebih banyak mayat,” katanya.

Jumlah mayat yang berjaya dibawa keluar masih tidak diketahui.- detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:16 PM