AKTIVIS antirasuah menunjuk perasaan membantah penahanan Bambang di depan pejabat KPK di Jakarta, semalam.
Agensi

Jakarta: Polis semalam menangkap timbalan ketua agensi antirasuah Indonesia atas dakwaan campur tangan dalam satu kes undang-undang.

Penangkapan itu menyebabkan tunjuk perasaan diadakan oleh aktivis antirasuah di luar ibu pejabat agensi berkenaan.

Bambang Widjojanto, orang kedua di Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) ditangkap secara mengejut seminggu selepas agensi itu menuduh seorang pegawai kanan polis terbabit rasuah hingga menyebabkan pelantikannya selaku ketua polis negara yang baru ditangguhkan.

Jurucakap polis kebangsaan Ronny Sompie berkata, Bambang yang disoal siasat di ibu pejabat polis di Jakarta berdepan dengan hukuman penjara tujuh tahun jika didapati bersalah.

Penahanan itu diselar dengan dakwaan polis cuba mengganggu usaha kerajaan menangani rasuah seperti yang dijanjikan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

“Kami mempunyai bukti mencukupi untuk mengesyaki dia terbabit dalam kes itu. Kami tidak pasti sama ada dia akan ditahan selepas disoal siasat. Ia bergantung kepada hasil siasatan hari ini (semalam),” kata Ronny.

Dia menegaskan siasatan itu tertumpu pada Bambang semata-mata, tidak ada kena mengena dengan KPK yang sejak sekian lama tidak sehaluan dengan polis.

KPK minggu lalu melancarkan siasatan terhadap Budi Gunawan, jeneral tiga bintang polis yang beberapa hari sebelum itu dipilih sebagai satu-satunya calon untuk menjadi ketua polis negara oleh Jokowi.

Presiden itu enggan menarik balik pencalonan Budi, tetapi kemudian menangguhkan pelantikannya sehingga KPK menamatkan siasatan mereka.

Berita mengenai penahanan Bambang mencetuskan bantahan aktivis antirasuah yang mendakwa polis ingin membalas dendam terjadap KPK berkait dengan isu rasuah Budi.

Dalam kenyataannya, kumpulan Pemerhati Rasuah Indonesiat menyifatkan penangkapan itu sebagai ‘tentangan polis kebangsaan terhadap KPK’ dan menggesa Jokowi meletak jawatan.

Bambang dilihat sebagai tokoh yang bersih di negara yang kegiatan rasuah berlaku secara berleluasa.

Transparency International menyenaraikan Indonesia di tangga ke 114 daripada 177 negara dalam indeks persepsi rasuahnya. Tempat pertama dalam senarai itu bermakna yang paling kurang rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:13 AM