Jakarta: Data teknologi Automatic Dependent Surveillance–Broadcast (ADS-B) yang dirakam daripada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 menunjukkan bahawa ia jatuh berputar ke dalam laut.

ADS-B adalah teknologi kerjasama pengawasan yang digunakan untuk menentukan kedudukan pesawat menerusi navigasi satelit yang disiarkan dari semasa ke semasa.

Menurut gambaran Aviation Safety Network, ketika pesawat naik mendadak sekitar 7.17 pagi (waktu tempatan), haluannya berubah 270 darjah ke barat.

Sebaik mencecah ketinggian 11,460 meter, arah pesawat membelok ke kiri sebelum berputar balik ke haluan asal dalam keadaan jatuh dengan kelajuan antara 3,353 meter hingga 7,315 meter seminit.

Mengikut maklumat pengesanan radar ADS-B terakhir yang dicatatkan pada ketinggian 7,315 meter, pesawat menukar haluan 197 darjah atau ke barat daya.

Ia kemudian dijangka jatuh terus ke laut.

Maklumat awal itu meleraikan persoalan mengapa kelajuan QZ8501 hanya 60 knots ketika hilang ketinggian, menurut Kompas.com

Ia sekali gus memperkukuh pendapat pemerhati penerbangan, Gerry Soejatman yang menyebut bahawa pesawat malang itu berkemungkinan jatuh hampir menegak. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 10:39 PM