Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Automatif Malaysia (MAA) masih tidak pasti sama ada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 akan memberi kesan kepada penurunan harga kereta di negara ini.

Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku penurunan atau peningkatan harga kenderaan, namun impak sebenar hanya boleh dilihat selepas rejim cukai baru itu dikuatkuasakan kelak.

“Apa yang penting, kami selaku pemain industri akan berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak tersebut kepada pembeli jika GST benar-benar menyumbang kepada peningkatan harga kereta,” katanya pada sidang media Unjuran Automotif 2015 dan Kajian Pasaran Automotif 2014 di sini, kelmarin.

Sebelum ini, Institut Automotif Malaysia (MAI) menyatakan pelaksanaan GST membantu untuk menurunkan harga kereta kerana cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus akan digantikan dengan GST enam peratus di samping liberalisasi pasaran.

Dalam perkembangan lain, MAA merayu kepada kerajaan untuk membolehkan industri menuntut sepenuhnya cukai jualan 10 peratus yang dibayar sebelum pelaksanaan GST pada 1 April ini.

Aishah berkata, perkara terbabit perlu dilaksanakan bagi memastikan peralihan lancar kepada GST, sekali gus membolehkan industri menuntut semula cukai jualan yang dibayar untuk inventori kereta sebelum rejim cukai baru itu.

“Pada masa ini, saham yang dipegang oleh syarikat kereta dan peniaga adalah termasuk cukai jualan sebanyak 10 peratus, namun jika saham dijual selepas 1 April maka mereka perlu menanggung kos atau caj tambahan pelanggan sebanyak enam peratus di bawah GST yang mana ia akan menjadikan harga kereta pergi lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, kelemahan mata wang ringgit dijangka meningkatkan harga kereta asing berikutan cukai denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan terhadap entiti terbabit.

Beliau berkata, kebanyakan ahli MAA membayar cukai denominasi AS bagi kenderaan yang diperoleh daripada luar negara, sekali gus menyebabkan syarikat automotif mungkin menaikkan harga kenderaan bagi mengekalkan kadar keuntungan masing-masing.

“Syarikat automotif mungkin tidak dapat mengekalkan harga semasa kenderaan berikutan keadaan ringgit yang lemah di mana peningkatan dalam kadar tukaran (dolar AS) menyebabkan harga kenderaan akan naik akhirnya kerana tidak pasti berapa lama syarikat terbabit boleh mengekalkan harga sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 8:41 AM