PAUL Walker dalam salah satu babak Fast & Furious 7
STAR Wars
AVENGERS: Age of Ultron
TERMINATOR Genisys.
Susunan Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Tahun 2014 menyaksikan barisan filem Blockbuster Hollywood yang meraih rating tinggi di seluruh dunia sehingga jualan tiket mencecah hampir RM4 bilion.

Filem Transformers: Age of Extinction mencatat kutipan paling tinggi bagi tahun lalu iaitu RM3.9 bilion diikuti The Hobbit: The Battle of the Five Armies, Guardians of the Galaxy, The Hunger Games: Mockingjay Part 1, Maleficient dan X-Men: Days of Future Past.

Seperti tahun lalu, sepanjang 2015 dimeriahkan dengan banyak filem sekuel, pembikinan semula serta adaptasi novel yang semestinya tidak boleh dilepaskan.

Dari 124 filem yang dijangka ditayangkan pada tahun ini, beberapa karya hebat yang paling dinanti-nantikan peminat antaranya Star Wars: The Force Awakens, Fast & Furious 7, The Avengers: Age of Ultron, Terminator Genisys, James Bond : Spectre, Insidious 3 dan Jurassic World.

Fast & Furious 7, 2 April

Sekuel terakhir Fast & Furious menjanjikan babak aksi dan plot cerita yang lebih hebat.

Ia masih menampilkan bintang Paul Walker yang meninggal pada November 2013 akibat kemalangan jalan raya.

Pelakon lain yang turut membintangi filem ini adalah Vin Diesel, Jordana Brewster, Dwayne Johnson, Nathalie Emmanuel, Ludacris dan Jason Statham.

Difahamkan babak kereta melambung adalah aksi betul dan tidak menggunakan kesan visual.

Babak itu dihasilkan dengan beberapa kereta dibuang dari pesawat tentera jenis Lockheed C-130 Hercules.

Salah satu babak mencemaskan memaparkan Walker berpaut pada sebuah kenderaan yang hampir terbabas dalam gaung.

Seperti sekuel terdahulu, Fast & Furious 7 turut mengisahkan balas dendam yang membabitkan Deckard Shaw terhadap Dominic dan keluarganya.

Avengers: Age of Ultron, 30 April

Peminat komik Marvel sudah tentu tidak sabar menyaksikan adiwira kegemaraan seperti Iron Man, Thor, Hulk, Black Widow dan Hawkeye bertarung dengan penjahat paling hebat, Ultron.

Ultron adalah robot ciptaan Tony Stark yang fungsinya ibarat adiwira untuk membantu menjaga keamanan dunia.

Bagaimanapun, berlaku kejadian tidak diingini apabila Ultron berubah dan menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri.

Filem arahan Joss Whedon itu turut dibintangi Robert Downey Jr, Scarlett Johansson, Chris Hemsworth dan Jeremy Renner.

Insidious Chapter 3, 11 Jun

Bagi peminat filem seram, siri kali ini menampilkan kelainan kerana adalah prekuel kepada Insidious Chapter 2.

Siri ini membawa penonton menyaksikan gangguan makhluk halus sebelum kejadian menimpa yang keluarga Lambert.

Masih mengekalkan pelakon Lin Shaye sebagai watak utama, Chapter 3 mengisahkan Elise Rainer terpaksa menggunakan kuasa psikiknya untuk berhubung dengan alam ghaib.

Filem menelan bajet sebanyak RM18 juta itu dijayakan oleh barisan pelakon Dermot Mulroney, Angus Sampson, Stefanie Scott dan Steve Coulter.

Jurassic World, 11 Jun

Selepas The Lost World: Jurassic Park pada 1997, filem mengisahkan dunia dinosaur kembali dengan tajuk Jurassic World.

Jalan cerita filem ini memaparkan situasi Isla Nublar selepas kejadian yang berlaku di Jurassic Park, 22 tahun lalu.

Kini, taman tema dinosaurdi Isla Nublar sudah beroperasi sepenuhnya namun bilangan pengunjung semakin berkurangan.

Bagi menarik semula pengunjung ke taman tema itu, tarikan baru diperkenalkan. Bagaimanapun, tarikan itu mencetuskan masalah sehingga menyebabkan tragedi.

Menariknya, Jurassic World dikatakan bakal memaparkan spesis baru dinosaur. Filem ini sudah tentu menyeronokkan kerana dinosaur Indominus Rex dikatakan adalah spesis hibrid dan turut mengandungi DNA manusia.

Menurut pengarah Colin Trevorrow, filem itu diberikan nafas baru dengan menerapkan beberapa idea baru untuk menjadikan jalan ceritanya lebih menarik.

Terminator Genisys, 2 Julai

Berita baik kepada peminat Terminator kerana pelakon Arnold Schwarzenegger kembali beraksi dalam sekuel kelima, Terminator Genisys.

Difahamkan sekuel itu akan mengisahkan kejadian di dua waktu berbeza iaitu pada 1984 dan 2017.

Menurut sumber, Terminator Genisys mungkin memaparkan plot cerita hampir sama dengan dua sekuel pertama Terminator.

Dibintangi Jason Clarke, Emilia Clarke, Arnold Schwarzenegger, Matt Smith dan Jai Courtney, sekuel itu bakal menampilkan imej baru robot Terminator T-800.

Dalam filem ini, John Connor dan ibunya Sarah akan dibantu robot Terminator yang berusia untuk menghalang Skynet.

James Bond: Spectre, 5 November

Penggambaran siri filem ke-24 James Bond ini baru bermula bulan lalu di London walaupun tayangannya dijangka pada Oktober ini.

Selain London, penggambaran filem itu juga bertempat di sekitar Itali dan Austria.

Masih mengekalkan Daniel Craig sebagai watak utama, tidak banyak maklumat didedahkan mengenai jalan cerita filem ini.

Namun difahamkan sekuel kali ini menyentuh mengenai masa silam Bond dan sebuah organisasi jahat.

Star Wars: The Force Awakens, 17 Disember

Filem terbaru Star Wars ini dikatakan antara filem paling dinanti-nantikan pada tahun ini.

Episod kali ini mengisahkan kejadian yang berlaku 30 tahun selepas trilogi Return of the Jedi yang ditayangkan pada 1983.

Seperti filem James Bond Spectre, maklumat terperinci mengenai sekuel ini tidak banyak.

Apa yang menarik, ia menampilkan pelakon asal nya iaitu Harrison Ford, Mark Hamill dan Carrie Fisher.

Terdapat sumber menyatakan sekuel kali ini tidak akan mengandungi elemen yang dihasilkan oleh pencipta Star Wars, George Lucas.

Terbaru, pelakon Leanne Best dikatakan bakal muncul dalam filem arahan J.J. Abrams itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:01 AM