AMY Mastura tidak pernah berasa kecewa dengan kritikan penonton terhadap lakonannya.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Selain cukup dikenali peminat di pentas nyanyian, nama Amy Mastura, 44, juga menjadi perhatian dalam bidang lakonan.

Pernah mencipta nama menerusi filem Puteri Impian arahan Aziz M Osman pada 1996, hingga kini Amy atau nama sebenar Amy Mastura Suhaimi masih aktif berlakon.

Sering menjalin kerjasama dengan pengarah terkenal seperti Michael Ang, Amy muncul dalam drama berkonsep muzikal terbaru, Dee The Series sebanyak 13 episod.

Meskipun drama itu disiarkan untuk Astro Ceria (saluran 611) mulai 18 Januari lalu, jam 11 pagi, tetapi lakonan Amy mantap dan bersahaja.

Melakonkan watak Amy, ibu kepada dua orang anak perempuan iaitu Dee lakonan Daiyan Tisha dan Mia (Puteri Balqis), ia diperkuatkan dengan gandingan serasi Amy bersama Zizan Nin (Chad).

Bersua Amy pada majlis pelancaran drama itu baru-baru ini, anak jati Perak ini mengakui dia seorang yang tidak terlalu memilih watak akan dilakonkan.

"Bukan saja watak, tetapi saya juga selesa tidak meletakkan sebarang syarat terhadap tawaran berlakon diterima.

"Bagi saya setiap tawaran berlakon yang datang itu rezeki. Bahkan, pemilihan watak diberikan pengarah itu satu kepercayaan kepada bakat lakonan saya.

"Ia juga bermakna pengarah mahu pun pihak produksi yakin pada keupayaan saya berlakon salah satu watak dalam produk seni mereka," katanya.

Menurut anak seni yang bakatnya dicungkil pertandingan nyanyian Asia Bagus pada 1993 itu lagi, tiada sebab dia bersikap terlalu memilih.

"Selagi watak diterima itu sesuai dan mampu saya lakonkan, kenapa hendak ditolak. Walaupun watak sebagai seorang datin.

"Sebagai pelakon, tidak salah untuk saya mencuba setiap watak ditawarkan. Bahkan, pada masa sama saya juga perlu bersedia menerima kritikan.

"Itu yang berlaku ketika saya melakonkan watak datin dalam drama Maafkan Jika Aku Tak Sempurna untuk slot Akasia di TV3, tahun lalu yang dikritik penonton," katanya.

Menurut Amy yang juga ibu kepada dua anak, dia menerima segala kritikan itu dengan hati terbuka. Malah, Amy juga mengakui tidak serik melakonkan watak datin.

Mengakui biarpun ramai penonton mengkritik dan beranggapan Amy tidak layak melakonkan watak datin itu, dia tidak berasa kecewa.

Baginya, setiap penonton mempunyai pandangan masing-masing. Justeru, kritikan itu sama sekali tidak membuatkan dia mudah melatah dan hanya bersikap positif.

Amy yang akan muncul dengan watak datin dalam drama Bencinta di TV3 tidak lama lagi turut berkongsi perkembangan karier nyanyiannya.

Tidak sesekali melupakan nyanyian, Amy yang pernah popular dengan lagu seperti Meniti Hari dan Jawapan Kasih itu akan muncul dengan single baru, Menari Ler ciptaan Ardif Johari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:01 AM