Oleh Mohd Husni Mohd Noor

mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Banduan yang dihukum penjara bersabit penyertaan dalam militan Negara Islam (IS) akan diasingkan daripada banduan jenayah berat lain bagi mengelak penyebaran ideologi berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mendapati ada banduan berkenaan dikesan cuba menyebarkan ideologi IS kepada banduan lain di penjara.

Beliau berkata, buat masa ini, seramai 120 banduan disabit kesalahan berkaitan IS dipenjarakan.

"Kami juga sudah mengenalpasti dua penjara bagi proses pengasingan banduan berkenaan masing-masing di Penjara Tapah, Perak dan Penjara Bentong, Pahang," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Katanya, pihaknya juga menyediakan pakar bagi mendekati banduan berkenaan dalam usaha memulihkan pemikiran dan ideologi mereka daripada terus dipengaruhi elemen IS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 1:47 PM