NICOL
Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David tidak berdepan masalah memenangi perlawanan pusingan pertama Kejohanan Juara-Juara JP Morgan 2015 apabila menumpaskan Rachel Grinham dari Australia awal pagi semalam.

Nicol yang beraksi dalam kejohanan pertama tahun ini, mengambil 39 minit untuk menang 6-11, 11-6, 11-5, 11-7 di Grand Central Terminal, Manhattan.

Menurut penyandang juara itu, penghargaan diberikan penonton menyuntik tenaga buat pemain termasuk dirinya sendiri yang menempah slot ke suku akhir.

“Memang menyeronokkan dapat kembali ke sini, terutama di tempat yang kita tahu peminat sangat menghargai pemain,” katanya selepas perlawanan semalam.

Ditanya mengenai rahsia bagaimana dia berjaya mengekalkan kedudukan selaku pemain nombor satu dunia, Nicol berkata, permainan skuasy itu sendiri yang banyak membantunya.

“Permainan ini membuatkan anda berasa untuk terus menunjukkan peningkatan dan saya sangat suka beraksi di gelanggang kaca,” katanya.

Menanti Nicol di suku akhir hari ini pilihan kelima dari England, Alison Waters yang sebelum itu mengalahkan Samantha Teran (Mexico) 6-11, 11-6, 11-3, 11-5.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Low Wee Wern terkandas di pusingan pertama apabila tumpas kepada wakil tuan rumah, Amanda Sobhy 7-11, 11-5, 11-6, 8-11, 7-11.

“Perlawanan itu sungguh sengit dan ini aksi pertama saya sejak mengalami kecederaan paha. Saya bermain dengan baik, tapi Amanda lebih bagus,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Menurutnya, Amanda bijak mengambil peluang ketika mengutip mata penting dan dia bertekad bangkit semula pada saingan Cleveland Classic 2015 yang akan bermula Khamis depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 7:36 AM