TERPESONA dengan stalaktit Hantu Menari.
MENURUNI gua bertingkat Jinjang Pelamin.
KEINDAHAN dalam gua Tahi Bintang.
LUKISAN di dinding gua Seribu Cerita.
Oleh Mohamed Semail
rencana@hmetro.com.my

Pengalaman menjejaki misteri gua batu kapur di Kampung Merapoh, Kuala Lipis, ternyata menaikkan semangat dan keterujaan.

Kedudukannya yang unik dan terpacak seperti cendawan tumbuh berselerakan di sekitar kampung, menarik perhatian anggota Kembara Foto Alam (NPC) 2014.

Penulis sendiri tidak sabar apabila diberitahu terdapat lebih 150 gua tersembunyi masih belum di ketahui umum dan hanya 12 saja dikenal pasti selamat untuk diterokai.

Menurut ketua ekspedisi Ali Shamsur Bahar (Doc Ali), penerokaan tiga hari itu bagi mendedahkan pengalaman baru kepada jurufoto terbabit teknik merakam gambar gua dalam situasi kurang cahaya.

Malah, aktiviti jelajah gua di Merapoh itu sebahagian program 1MCAT (1 Malaysian Contemporary Art Tourism) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan Kolej IKIP Kuantan.

Penulis sempat bersembang dengan komandan jelajah Gua Merapoh, Laili Basir di kem penginapan kami.

Katanya, banyak lagi gua misteri tersembunyi yang boleh diterokai, namun untuk keselamatan hanya 12 yang dibuka kepada orang ramai.

Keputusan itu dibuat berikutan terdapat fosil tulang dan penemuan misteri di beberapa gua lain yang masih dalam kajian.

Sebelum ke gua, Doc Ali memberi tunjuk ajar mengenai kaedah merakam gambar dalam situasi gelap dengan hanya menggunakan 'flash' kamera dan lampu dahi.

Bagi penulis, ancaman kemusnahan paling ketara ialah pembangunan kilang simen yang dikatakan bakal meruntuhkan gua batu kapur untuk kegiatan ekonomi.

Tiga hari di sana, hanya empat gua yang berjaya diterokai iaitu Gua Seribu Cerita, Tahi Bintang, Hantu Menari dan Jinjang Pelamin.

Gua Seribu Cerita

Gua ini antara paling menarik dan unik kerana ada beberapa lukisan berbentuk orang lidi dan bintang menghiasi dinding gua berkenaan.

Menurut Laili, lukisan itu menunjukkan bahawa terdapatnya manusia prasejarah menghuni gua berkenaan.

Wujud juga kemungkinan ia menjadi kawasan penempatan utama berikutan penemuan beberapa barangan purba seperti serpihan senjata.

Tidak banyak fosil ditemui di gua sederhana besar sepanjang kira-kira 200 meter itu berbanding di gua Tahi Bintang.

Gua Tahi Bintang

Di gua ini kami menemui fosil cengkerang siput melekat di rabungnya dan cakaran di bahagian dinding.

Penemuan kulit siput yang melekat pada rabung dinding menimbulkan beberapa teori antaranya, kemungkinan berlaku ledakan kerak bumi di bahagian laut yang melonjak ke permukaan, sekali gus membentuk bongkah seperti bisul.

Proses pembentukan bongkah itu dipercayai mengambil masa lama untuk membentuk bukit batu kapur. Ia kemudiannya melalui beberapa perubahan sebelum membentuk terowong atau lubang gua.

Penulis tertarik pada kesan cakaran pada dinding gua yang tampak selari berkarat seperti jaluran tahi bintang.

Alurnya menarik tidak ubah seperti serpihan tahi bintang yang berterbangan di angkasa. Justeru, penduduk tempatan menamakannya Gua Tahi Bintang.

Pada pengamatan penulis, gua itu antara yang terpanjang dan paling cantik malah bahagian berkilauan biru keemasan dengan jaluran stalaktit membentuk jejari menghiasi bahagian dalamnya.

Gua Hantu Menari

Gua Hantu Menari dikatakan terpanjang setakat ini. Jaraknya melebihi 400 meter dan dindingnya berkilauan keemasan apabila disimbah cahaya lampu kamera.

Begitupun, paling menarik apabila terdapat tiang seri sebesar dua pemeluk, terpacak di pintu masuk gua terbabit. Kedudukannya seolah-olah membentuk dua pintu masuk utama.

Gua Pelamin

Sementara itu, Gua Pelamin menjadi lokasi jelajah terakhir yang sempat diselongkar. Untuk masuk ke sini memerlukan kecekalan dan keberanian memanjat tebing tinggi sambil bergayut dengan tali.

Kedudukannya di tebing curam dan agak tersorok begitu menggerunkan berbanding gua lain.

Paling menakjubkan, terdapat dua arca stalaktit berkembar yang membentuk pintu gerbang. Warna kekuningan emas begitu menyerlah apabila terkena simbahan lampu kamera.

Nama Gua Pelamin diambil berikutan terdapatnya batu hampar berbentuk pelamin. Kesukaran memanjat tebing tinggi dan curam membuatkan ia tidak begitu popular dalam kalangan pengunjung.

Apapun, peminat jelajah gua tidak perlu bimbang ke sana kerana pakej penginapan termasuk makan, kenderaan untuk ke gua dan pemandu jalan disediakan pengusaha chalet.

Paling mustahak, pastikan anda membawa lampu dahi dan lampu flash kamera untuk menyelongkar isi gua selain bekalan bateri mencukupi sebelum memasuki gua-gua berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:04 AM