HIASI dengan bawang goreng, daun bawang, daun sup, cili merah dan limau kasturi.
1. BAHAN untuk memasak, mi jawa, keledek rebus, bawang, udang kering, cili kering, buah keras dan bahan untuk hiasan.
2. KISAR semua bahan yang digoreng dengan sedikit minyak. Campurkan dengan keledek dan kacau. Ketepikan.
3. PANASKAN minyak kemudian masukkan cili kering kisar dan kacau sehingga naik bau.
4. TUANGKAN cili yang sudah dimasak ke dalam campuran keledek tadi.
5. PANASKAN bahan kuah ini dan biarkan mendidih. Tambahkan gula, garam dan serbuk perisa secukup rasa.
6. LETAKKAN mi kuning, tauge, tauhu dan telur ke dalam pinggan. Tuang kuah yang baru dimasak tadi.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Keunikan mi jawa sudah tentu daripada rasanya yang manis, sedikit pedas, berlemak serta aroma udang kering yang memberikan keenakan berbeza. Bagi penggemar masakan ini pastinya sudah mengetahui antara bahan yang wajib ada dalam sepinggan mi jawa.

Tidak susah untuk menyediakannya kerana bahannya mudah diperoleh selain teknik memasaknya pula tidak memerlukan masa yang lama.

Menurut pemilik Restoran Ulam Desa, Jaaidah Mohd Khalid, hidangan mi jawa antara menu istimewa dan menjadi tanda pengenalan di situ.

Dia yang mewarisi resipi turun-temurun ibunya yang berasal dari Banting, Selangor memberitahu rahsia mendapatkan kuah yang pekat dan enak terletak pada ramuan keledek yang memberikan rasa manis pada kuah.

"Pilih keledek berwarna jingga kerana ia lebih manis. Malah warna keledek memainkan peranan penting. Keledek jingga menghasilkan rasa lebih manis berbanding ungu atau putih. Menggunakan banyak keledek ia dapat memberikan kemanisan secara semula jadi," katanya yang menjalankan perniagaan di Bukit Jelutung Shah Alam.

Restoran yang dibuka sejak empat tahun lalu menyediakan hidangan berasaskan masakan Melayu bermula jam 7.30 sehingga 10 pagi bagi sarapan dan bersambung untuk makan tengah hari bermula 11 pagi hingga 11 malam. Antara juadah yang mendapat perhatian adalah sup, kuih-muih tradisional, lauk-pauk dan mi jawa.

Berkongsi resipi dengan pembaca Harian Metro, Jaaidah menunjukkan cara menyediakan mi jawa warisan istimewa keluarganya.

Bahan-bahan:

- 1 kilogram mi kuning dicelur

- 500 gram keledek jingga direbus dan dilenyek atau kisar

- 4 sudu besar cili kering dikisar

Bahan digoreng dengan sedikit minyak:

- 8-10 biji buah keras

- 4 sudu besar udang kering

- 2-3 biji bawang besar

- 6 ulas bawang putih

- 1 inci halia

- Gula, garam dan perisa secukup rasa

Bahan hiasan:

- Bawang goreng

- Cili merah dan hijau

- Daun bawang dan daun sup

- Limau kasturi

- Tauge

- Tauhu goreng

- Telur rebus

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:05 AM