AHMAD Syariff ketika mengiringi persembahan Salamiah di Konsert Gelombang Salamiah Hassan, Januari tahun lalu.

Nama Allahyarham Ahmad Shariff, 82, bukan asing dalam kalangan penggiat seni hiburan khususnya bidang muzik tanah air.

Ahmad Shariff yang juga abang kepada penyanyi terkenal Salamiah Hassan, 64, itu ialah bekas pemain piano Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Allayarham yang memiliki empat cahaya mata disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur jam 7.30 malam kelmarin akibat masalah paru-paru.

Salamiah ketika dihubungi berkata, arwah abangnya kelihatan sihat dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda sakit.

"Memang tak sangka dia pergi meninggalkan kami sekeluarga sepantas ini. Kami juga tidak tahu yang dia sakit," katanya.

Menurut Salamiah lagi, Allahyarham juga baru kehilangan isteri tercintanya yang meninggal dunia pada 6 Januari lalu.

Salamiah berkata, belum pun kesedihan kehilangan kakak ipar reda, mereka sekeluarga sekali lagi diuji dengan kematian arwah abangnya.

Berkongsi kenangannya, penyanyi yang popular dengan lagu Gelombang ini berkata, arwah abangnya itu pernah mengiringi persembahannya di Konsert Gelombang Salamiah Hassan di Istana Budaya, Januari tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Cheras, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras, semalam.

Sementara itu, Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail berkata, Allahyarham adalah seorang pemain piano terkenal tanah air pada era 1960-an.

"Saya sangat kagum dengan bakat bermain piano yang dimiliki arwah dan dia juga idola saya dalam bidang muzik. Dia seorang pemuzik handalan yang berbakat besar, baik hati, suka merendah diri dan kelakar," katanya.

Mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, Mokhzani berkata, kali terakhir beliau bertemu arwah pada 2012 lalu di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:01 AM