Kuala Lumpur: Kumpulan Emkay (Emkay) menerusi syarikat sekutunya, Setia Haruman Sdn Bhd (Setia Haruman) bersama CIDB Holdings Sdn Bhd (CIDB Holdings) memeterai kerjasama bagi membantu meningkatkan hasil kerja golongan Bumiputera dalam industri kontraktor.

Hasil kerjasama itu, kedua-dua pihak memperkenalkan kursus kontraktor, Kursus Kesedaran Qlassic (Qlassic) yang membabitkan 60 vendor berdaftar dengan Kumpulan Emkay.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, pengenalan Qlassic bagi membantu vendor Bumiputera mencapai standard yang dikehendaki dalam industri pembinaan yang mana standard berkenaan disediakan oleh CIDB Holdings.

Beliau berkata, kursus itu mengambil masa antara tiga hingga lima hari dan ia menjadi salah satu ciri diperlukan untuk mendapatkan tender daripada mana-mana projek di bawah Kumpulan Emkay.

“CIDB Holdings terbabit dalam penyediaan silibus dan penyediaan kepakaran tenaga serta pemudah cara manakala Kumpulan Emkay serta Setia Haruman menyediakan fasiliti, sumber modal insan dan kemudahan teknikal.

“Kursus ini penting bagi memastikan setiap kontraktor dapat menghasilkan gerak kerja yang berkualiti, menepati masa dan mampu mengurangkan kos kerana ketiga-tiga perkara berkenaan sering menjadi isu antara pemaju dan golongan berkenaan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefaham (MoU) antara Setia Haruman dan CIDB Holdings di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:02 AM