PEGAWAI Penguatkuasa KPDNKK Melaka menunjukkan penimbang yang tamat tempoh bagi tujuan perniagaan ketika Ops Catut di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan.
PEGAWAI PenguatKuasa KPDNKK negeri melakukan pemeriksaan tanda harga ketika Ops Catut di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati_yusof@hmetro.com.my


Melaka: Seramai lapan peniaga dikompaun RM1,450 dalam Operasi Antipencatutan (Ops Catut) kerana gagal mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang luput tempoh sah di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, di sini, pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Jamil Buang berkata, lima daripadanya adalah kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta tiga lagi mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Hasil pemeriksaan di 147 premis di pasar borong itu, seramai lima peniaga dikompaun mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

"Manakala bakinya dikompaun mengikut Seksyen 14 (6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang tamat tempoh sah," katanya ketika dihubungi di sini, tadi.

Menurutnya, operasi lebih dua jam bermula 3 pagi itu dijalankan sepasukan 12 anggota KPDNKK negeri diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Abdul Haris Mat Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 12:43 PM