ANTARA aktiviti disediakan.
KANAK-kanak teruja melihat hutan FRIM.
FENOMENA Crown Shyness.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Jangan terkejut jika ada dalam kalangan 'budak bandar' mempunyai persepsi negatif mengenai hutan. Mereka membayangkan hutan sebagai kawasan menakutkan, gelap, kotor, menggelikan dan dipenuhi haiwan berbisa.

Persepsi seperti itu seharusnya dielakkan, apatah lagi hutan menyimpan khazanah cukup berharga dalam menjamin kelestarian alam semula jadi.

Apa pun, bercakap soal hutan tentunya kita tidak dapat lari daripada menyentuh mengenai Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang terkenal sebagai sebuah institusi terkemuka dalam penyelidikan perhutanan tropika di dunia.

FRIM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP) menyediakan ruang penerokaan untuk pembelajaran.

Berkedudukan di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Perbandaran Kepong, FRIM menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk kemudahan murid dan pelajar sekolah.

Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada 10 Februari 2009 bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan melalui akta sama pada 10 Mei 2012 dan terkini Tapak Warisan Negara.

Ketua Komunikasi Korporat FRIM, Norhayati Nordin berkata, FRIM adalah satu destinasi eko-pelancongan paling popular di Malaysia.

Kampus utamanya di Kepong menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti rekreasi untuk pengunjung.

Ia termasuk jelajah denai alam, mandi air terjun, aktiviti pendidikan alam, tapak perkhemahan dan perkelahan, taman botani dan arboreta.

Satu tarikan utama adalah Titian Silara FRIM sepanjang 150 meter dan 30 meter dari aras tanah.

Aktiviti tapak perkhemahan katanya, sangat popular dan selamat kerana terletak paling dekat dengan Lembah Klang.

"Bagi orang bandar yang dahagakan ketenangan dan kedamaian, lokasi hutan ini sangat sesuai untuk aktiviti rekreasi," katanya.

Malah katanya, murid dan pelajar sekolah disediakan aktiviti mengenali pokok hutan dan memeriksa keasidan air sungai.

"Kita mahu pelajar menghargai alam sekitar dan mengenali tumbuhan hutan yang jarang ditemui.

"Sekurang-kurangnya, apa yang dilihat boleh diceritakan semula kepada keluarga dan rakan," katanya.

Dengan bantuan jurupandu terlatih serta kakitangan FRIM, peserta didedahkan dengan pelbagai ilmu hutan.

"Mungkin ada fakta melucukan yang boleh menarik perhatian mereka seperti pokok melembu yang mempunyai benjolan pada kulit menyerupai mata lembu dan simpoh gajah.

"Pengalaman melalui denai pula akan diingati sampai bila-bila," katanya.

Pada waktu malam, mereka boleh menyaksikan kunang-kunang berterbangan dan menyertai aktiviti melihat katak menerusi program berjalan malam.

Dua ikon FRIM yang akan diingati adalah 'Canopy Walk' atau Titian Silara iaitu laluan berkanopi dari pokok ke pokok dan fenomena Crown Shyness.

Dari atas pokok peserta dapat mengenal spesies pokok hutan jarang ditemui seperti merbau, kapur, surian batu dan kasah.

Satu spesies yang menjana pendapatan negara terutama bagi industri perkayuan adalah pokok keruing, yang juga nama salah satu denai popular di FRIM.

Selain aktiviti perkhemahan, FRIM juga menyediakan program menanam pokok yang dianjurkan setiap tahun sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Alam Sekitar pada Jun.

Pelawat bagaimanapun dilarang melakukan aktiviti seperti membuang sampah, memancing, memburu atau mengganggu haiwan serta mengambil tumbuhan, pokok, bunga, buah-buahan atau haiwan.

Selain FRIM Kepong, FRIM Mata Air di Perlis juga menyediakan aktiviti sama, cuma tidak menganjurkan aktiviti berjalan malam manakala FRIM Pasoh di Felda Pasoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang berkeluasan 50 hektar menjadi pusat kajian saintis antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 5:02 AM