PESERTA ditunjukkan cara untuk mengendalikan ternakan sebelum melakukan suntikan.
DR Rahaizanwati (tengah) memberikan penerangan mengenai sukatan ubat yang perlu untuk diberikan kepada ternakan.
Oleh Hai Rozzaman Jalal
rencana@mediaprima.com.my


Pengusaha ternakan ruminan yang baru berkecimpung dalam bidang itu perlu diberikan pendedahan secara teori dan amali bagi menguruskan ternakan mereka.

Lebih penting, mereka perlu mengetahui cara menguruskan ternakan yang sakit, teknik rawatan serta pemeriksaan fizikal haiwan.

Sehubungan itu, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Ledang, Johor menganjurkan kursus pengurusan kesihatan ternakan ruminan di Ladang Ternakan Mohd Janis Abu Bakar, dekat Bukit Gambir, baru-baru ini.

Kursus itu disertai 38 penternak lembu dan kambing dari daerah berkenaan. Kebanyakan mereka baru berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Ledang, Mohd Nazri Omar berkata, melalui kursus itu peserta diberi pendedahan secara teori dan amali mengenai pengurusan ternakan yang sakit dan rawatan diperlukan sebelum dirujuk kepada pejabat veterinar.

"Ini termasuk cara menyuntik ternakan dan memberikan ubat cacing mengikut dos yang diperlukan.

"Jika ada ternakan luka, mereka boleh buat sendiri tanpa perlu memanggil pejabat veterinar, melainkan kes agak berat dan memerlukan kehadiran pegawai," katanya.

Sementara itu, Dr Rahaizanwati Abdul Rahim yang turut menyampaikan penerangan pada kursus berkenaan berkata, penternak perlu menguruskan ternakan sihat terlebih dulu dan kemudian barulah mengasingkan haiwan sakit di kandang berbeza.

Katanya, cara itu penting untuk mengelakkan jangkitan sebelum rawatan diberikan.

Peserta, Muhamad Helmi Mohd Janis, 21, dari Kampung Parit Kassan berkata, kursus dihadirinya itu menyuntik banyak ilmu dalam pengurusan kesihatan haiwan ternakan.

Menurutnya, melalui latihan amali dalam kursus itu, peserta berpeluang melakukan sendiri cara menyuntik dan memberikan ubat dengan cara yang betul.

Rashidah Muhamad, 40, dari Kesang Tasek pula mengakui kursus itu memberikan pengetahuan berguna kepadanya sama ada dari sudut teori mahupun kerja amalinya.

Katanya, dia dapat mempelajari banyak teori, selain pendedahan latihan amali memberikan suntikan atau ubat kepada haiwan ternakan.

"Saya baru dua tahun berkecimpung dalam bidang ternakan ini, bermula dengan lima ekor lembu dan kini membiak kepada 12 ekor.

"Jika ada kursus seumpama ini pada masa akan datang, saya tidak mahu ketinggalan untuk menyertainya bagi menambah ilmu berkaitan bidang ternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 5:01 AM