Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan langkah khusus dan proaktif bagi menangani perkembangan ekonomi semasa dan keadaan kewangan di Malaysia, esok.

Langkah terbabit termasuk strategi bagi membantu penduduk dan komuniti perniagaan yang terjejas banjir baru-baru ini dan membina semula infrastruktur yang rosak.

Walaupun tidak berlaku krisis ekonomi, kerajaan mengambil langkah awal berikutan perubahan landskap ekonomi global di luar kawalan Malaysia.

Langkah berkenaan bukan sahaja akan memastikan ekonomi terus mencatat pertumbuhan yang sewajarnya pada tahun akan datang tetapi juga pembangunan negara dan rakyat akan berterusan.

Najib yang juga Menteri Kewangan juga akan memperincikan kesan positif dan negatif kejatuhan harga minyak mentah dan unjuran terkini kepada negara dan rakyat.

Kejatuhan 60 peratus harga minyak baru-baru ini mejejaskan ekonomi global, termasuk Malaysia.

Ketika berucap pada perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri tahun ini, pagi ini, Najib berkata, pendekatan tepat dan bijak diperlukan untuk mengurangkan kesan kejatuhan harga minyak ke atas pertumbuhan ekonomi, pendapatan negara dan juga nilai ringgit.

“Sejajar dengan senario baru ini, kita akan bertindak secara lebih proaktif untuk memastikan kadar pertumbuhan mampan dan melindungi hak rakyat agar kebajikan mereka tidak terjejas teruk,” katanya.

Beliau juga dijangka menangani ketidaktentuan dalam aliran modal dan nilai ringgit yang merosot kepada paras terendah dalam lima setengah tahun, iaitu 3.60 berbanding dolar. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 9:26 PM