Kuantan: Pasukan Polis Marin (PPM) bercadang mempertingkatkan kemampuan aset sedia ada dengan pembelian aset baru lebih berkesan dan berkeupayaan tinggi bagi menghadapi banjir pada masa akan datang.

Komander PPM Bukit Aman, Datuk Abd Aziz Yusof, berkata perkara itu amat penting berdasarkan pengalaman dan penugasan pasukan itu pada musim banjir baru-baru ini.

“Masalah kekurangan aset sesuai dan kelengkapan asas menyelamat antara halangan dikenal pasti membataskan kecekapan serta masa bertindak PPM ketika melaksanakan operasi banjir baru-baru ini.

“Penggunaan bot tidak sesuai bukan sahaja membataskan operasi menyelamat, malah amat berisiko kepada anggota penyelamat dan mangsa,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan mangsa banjir kepada anggota PPM Wilayah 3 di Jeti Markas PPM Kuantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara aset dipertimbangkan ialah pembelian bot lebih besar dan berkuasa tinggi termasuk jenis Amphibia yang boleh digerakkan dalam pelbagai situasi di darat serta air dan amat sesuai bagi menghadapi banjir besar.

“Bot jenis ini (Amphibia) sudah dimiliki beberapa agensi lain namun kita lihat ia masih tidak mencukupi. Oleh itu, PPM juga perlu ada untuk saling lengkap melengkapi apabila diperlukan,” katanya.

Selain itu, Abd Aziz berkata, beberapa keperluan asas penyelamat seperti tali dan jaket keselamatan termasuk kepada kanak-kanak juga perlu disediakan untuk setiap bot yang digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir.

Pada masa sama, katanya bilangan treler juga perlu ditambah kerana ia mampu mengangkut bot dari satu lokasi ke lokasi lain dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan keupayaan PPM menghadapi Ops Banjir baru-baru ini, menerusi perancangan, persiapan strategi dan keanggotaan sedia ada.

“Secara keseluruhan, 15 pegawai dan 150 anggota PPM bersama 23 bot terbabit dalam operasi banjir termasuk di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Penugasan membabitkan beberapa fasa antaranya melaksanakan pemindahan mangsa, penghantaran bekalan makanan ke kawasan terputus hubungan, membantu ketua polis daerah dalam pencegahan jenayah dan kawalan keselamatan,” katanya.

Pada majlis itu, selain menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir, Abd Aziz turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terbabit dalam tugas menghadapi banjir. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 9:23 PM