ANTARA serpihan yang ditemui. FOTO Reuters

Selat Karimata : Pasukan penyelam Tentera Indonesia berjaya mengangkat lima serpihan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dari Laut Jawa termasuk dua tingkap pesawat bercat merah, 10 pagi tadi.

"Setiap penyelam cuba membawa naik apa yang mereka mampu angkat dari bawah. Terdapat tingkap bernombor C58, lampu, gear pesawat, ‘handlebar’ dan beberapa objek lain,” kata Panglima Tentera Laut Kawasan Barat Widodo di KRI Banda Aceh yang berada di perairan Karimata, Kalimantan Tengah.‎

Selain itu, katanya, penyelam juga menemui sayap dan tempat bahan bakar pesawat namun kedua - duanya tidak diangkat ke permukaan.‎

Katanya, penyelam mulai terjun sekitar 6 pagi dan enam pasukan penyelam ditugaskan hari ini iaitu yang pertama turun untuk memantau situasi bawah air dan alat penanda yang sudah dipasang semalam.

"Ada satu tanda yang hilang akibat ombak besar. Pasukan kedua pula menemui sayap dan tempat bahan bakar disusuli dengan pasukan ketiga hingga keenam melakukan pemetaan dasar laut," katanya.

Pemetaan dasar laut diperlukan untuk merancang strategi seterusnya dan semua pasukan penyelam yang diterjunkan pagi tadi sudah kembali ke KRI Banda Aceh.

“Mengikut perancangan akan ada pasukan penyelam yang terjun ke laut nanti namun ia bergantung kepada cuaca.

“Serpihan - serpihan itu akan dikumpulkan terlebih dahulu di KRI Banda Aceh sebelum diserahkan ke Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Indonesia,” katanya. - detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 12:56 PM