MAYAT dihantar ke Hospital Mukah.
Oleh Pretty Licha
am@hmetro.com.my


Mukah: Mayat Nurul Atikah Rosli, 17, remaja yang dilaporkan hilang selepas perahu tambang dinaikinya karam semalam berjaya ditemui kira-kira 8 pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui di kawasan pantai Tepian Mukah, di sini, lebih lima kilometer dari lokasi perahu tambangnya dilaporkan karam pagi semalam.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang kebetulan memasang pukat di kawasan pantai itu sebelum menghubungi polis.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Allahyarham yang berasal dari Kampung Tanjung, di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya mini di pusat bandar.

Bagaimanapun, perahu tambang dinaikinya melanggar tongkang, dipercayai berpunca dari arus deras sungai, sebelum karam.

Empat lagi mangsa, termasuk pemilik perahu tambang berjaya menyelamatkan diri selepas sempat melompat ke bot nelayan yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Jenazah Nurul Atikah kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Mukah untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 10:38 AM