Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Tindakan tegas perlu diambil semua pihak terhadap suspek kes serangan membabitkan seorang kakitangan wanita Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) menerusi semua akta dan undang-undang sedia ada.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata, ia perlu bagi memastikan mangsa terbabit mendapat pembelaan sewajarnya selain memastikan kes seperti itu tidak berulang kembali.

"Saya mahu tindakan setegas-tegasnya diambil semua pihak melalui apa sahaja akta. Misalnya, jika di bawah kementerian kami, ia boleh dilakukan menerusi Akta Keganasan Rumah Tangga 2007.

"Justeru, masing-masing perlu mengambil dan lihat kes ini secara serius," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kes serangan terbabit di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Rohani berkata,selain itu, pihaknya akan melakukan penambahbaikan dalam prosedur standard operasi (SOP) waktu bekerja wanita.

Jumaat lalu, seorang kakitangan wanita KKM cedera teruk di bahagian muka dipercayai akibat diserang seorang lelaki dengan spanar di pejabatnya di bangunan kementerian berkenaan di sini.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, mangsa luka teruk di hidung, kepala dan muka akibat diserang sebatang spanar oleh seorang juruteknik selenggara di bangunan berkenaan.

Suspek berusia 30-an sudah diberkas polis, manakala mangsa berusia 30 tahun berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan lanjut di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 10:26 AM