AHMAD Bashah (tengah) dan Mitsuru pada majlis pelancaran.

Subang Jaya: Aeon Big (M) Sdn Bhd melalui jenama pasar raya Aeon Big menawarkan 2,500 produk keperluan harian pada harga lebih rendah sepanjang tahun ini melalui kempen terbarunya iaitu Tetap Harga Rendah bertujuan meringankan tanggungan rakyat di negara ini.

Pengarah Urusannya, Mitsuru Nakata berkata, kempen itu inisiatif yang menunjukkan komitmen syarikat untuk membantu usaha kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup melalui penurunan harga barang keperluan, sekali gus membolehkan pengguna untuk berjimat cermat terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu masa kini.

“Kami lihat orang ramai kini prihatin terhadap perbelanjaan harian masing-masing dan kami yakin pengenalan kempen ini mampu membantu mereka untuk menikmati pengalaman beli-belah dengan lebih selesa serta bermakna,” katanya pada majlis pelancaran itu di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Kempen itu menyaksikan orang ramai berpeluang menikmati harga barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan di mana Aeon Big mengekalkan harga terbabit di semua 24 cawangan pasar raya besar dan empat pasar rayanya.

Pada majlis sama, Aeon Big melancarkan semula cawangan pasar raya besar Aeon Big Subang Jaya dengan wajah baru yang dinaik taraf secara menyeluruh bagi memberi lebih banyak kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai.

Aeon Big memperuntukkan RM40 juta untuk kerja menaik taraf bangunan yang sudah beroperasi selama 20 tahun itu dengan konsep beli-belah di bawah satu bumbung melalui lebih 90 kedai menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan.

KPDNKK menyeru supaya lebih ramai peruncit menurunkan harga barang keperluan bagi membantu meringankan beban orang ramai memandangkan tiada peruncit mengambil peluang daripada trend penurunan harga minyak, baru-baru ini untuk menurunkan harga barang masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 5:05 AM