Jakarta: Helikopter BASARNAS yang dijadualkan menghantar 40 beg mayat ke KRI Banda Aceh terpaksa berpatah balik ke Pangkalan Bun berikutan gangguan cuaca buruk di tengah laut.

Juruterbangnya, Leftenan Kolonel Laut Muhammad Tohir berkata, perjalanan bermula lancar sebelum berdepan gangguan awan kumulunimbus.

“Kami berlepas dari lapangan terbang sekitar 12.24 tengah hari tadi(waktu tempatan). Namun, 24 kilometer dari Pangkalan Bun, kami dihadang awan kumulunimbus.

“Bagaimanapun, halangan itu berjaya dilepasi dengan baik,” katanya.

Jelas Muhammad Tohir, beliau bagaimanapun terpaksa berpatah semula ke Pangkalan Bun apabila dimaklumkan KRI Banda Aceh bahawa ombak di perairan mencapai ketinggian empat meter disertai hujan lebat.

“Angin mencapai kelajuan 35 knot. Jika hendak mendarat sekali pun kami perlu melepasi angin sekitar 20 knot. Keadaan bukan saja bahaya tapi sukar kerana tidak stabil.

“Kami kemudian di arah kembali ke Pangkalan Bun,” katanya.

Difahamkan, dua mayat ditemui terapung di sekitar kawasan penemuan badan utama pesawat di Perairan Pulau Jawa dekat Selat Karimata.

Kedua-dua mayat itu dipercayai sudah dipindahkan dan kini berada di atas Kapal Sibolga. -detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:41 PM