Jakarta: Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) kembali menyelam ke dasar laut bagi meneruskan proses pemindahan badan utama pesawat AirAsia QZ8501.

Sehingga pagi tadi, seramai 30 anggota TNI diturunkan dari KRI Banda Aceh ke perahu getah untuk melakukan proses pemindahan.

Panglima Komando Armada Wilayah Barat Laksamana Muda Widodo berkata, anggota TNI-AL kini sibuk mengurus semua peralatan menyelam bagi melancarkan kerja pemindahan sepanjang minggu ini.

“Kita sedia meneruskan selaman hari ini jika keadaan di dasar laut mengizinkan. Begitupun, tidak dapat dipastikan sama ada badan pesawat AirAsia Indonesia dapat diangkat hari ini,” katanya.

Terdahulu Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Bambang Soelistyo berkata, pasukan gabungan akan mengosongkan badan pesawat untuk memastikan tiada mayat tertinggal di dalamnya.

Keputusan mengangkat badan pesawat itu diambil selepas usaha menyelam untuk memindahkan satu per satu jenazah nahas sukar dilakukan kerana arus laut yang deras.

Terdapat tiga langkah pengosongan yang dicadangkan antaranya dengan belon pengapung, menggunakan kren di kapal tunda dan diangkut ke ponton serta membawa belon pengapung dan peralatan dari Batam.

Begitupun sehingga kini proses pemindahan masih tertangguh kerana cuaca buruk. - detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 1:16 PM