Pangkalan Bun: Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menjangkakan hujan dan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Selat Karimata atau lokasi pemindahan badan pesawat Air Asia QZ8501.

Mengikut keterangan Ketua BMKG Pangkalan Bun Lukman Soleh, hujan lebat berpotensi berlaku sepanjang minggu ini di sekitar lokasi penemuan badan pesawat.

“Berdasarkan pemantauan radar BMKG, daerah dengan awan hujan tertumpu di sekitar kawasan Selat Karimata.

“Untuk itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diminta berwaspada. Kemunculan awan Kumulunimbus boleh menyumbang kepada kelajuan angin dan tinggi ombak,” katanya.

Sepanjang hari ini katanya, potensi hujan di sekitar lokasi pencarian masih tinggi termasuk di daerah berdekatan.

“Kita jangkakan cuaca beransur baik di sebelah petang walaupun berisiko hujan di sepanjang aktiviti pemindahan badan pesawat AirAsia QZ8501.

“Semoga pasukan yang terbabit dapat mencari penyelesaian segera dalam memindahkan objek yang menjadi sasaran hari ini,” katanya. -Suara.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 11:58 AM