Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Formula mengangkat novel ke layar lebar sebelum ini membuktikan ia mampu membawa keuntungan kepada penerbit sebagaimana kejayaan diraih Ombak Rindu yang mencatat kutipan RM11.2 juta pada 2011.

Filem lain diadaptasi daripada novel popular termasuk Lagenda Budak Setan (2010) yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung RM3 juta.

Antara faktor penyumbang kejayaan dua filem ini adalah mengangkat novel popular dan punya pengikut. Ditambah dengan pemainnya adalah pelakon dikenali dan mempunyai ramai peminat.

Jika Ombak Rindu menyaksikan gandingan Aaron Aziz dan Maya Karin manakala Lagenda Budak Setan menggandingkan Lisa Surihani dengan Farid Kamil, kini Aaron dan Lisa digandingkan pula dalam Suamiku Encik Perfect 10.

Filem adaptasi novel popular karya Syamnuriezmil dan diterbitkan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd ini turut menggunakan resipi sama iaitu diangkat dari novel popular dan dijayakan pelakon popular.

Aaron dan Lisa mengakui pengalaman pernah bekerja dengan produksi berpengalaman mengangkat naskhah novel ke kaca televisyen mahupun filem memudahkan mereka membintangi Suamiku Encik Perfect 10.

Kata Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, pengalaman bekerja dengan pengarahnya, Mohammed Feroz Kader dan juga Lisa memberi kelebihan kepadanya dalam menjayakan watak Zarief Daniel.

“Walaupun sudah biasa, permainan watak untuk filem Suamiku Encik Perfect 10 berbeza. Namun bekerja dengan Lisa sebelum ini membuatkan saya kenal dan tahu bagaimana hendak membina kemesraan antara kami.

“Tambah pula watak saya dan Lisa seperti adik abang dan di luar filem juga begitu, jadi kemesraan antara kami wujud secara automatik,” katanya.

Aaron yang pernah menjayakan enam drama dan filem yang diangkat dari novel sebelum ini mengakui tidak pernah membaca naskhah asalnya untuk membantunya menghayati watak.

Katanya, dia tidak membaca naskhah asal kerana tidak mahu tumpuannya terganggu dengan watak digambarkan dalam novel.

“Saya lebih senang mengikut apa yang ditulis pada skrip. Sebagai pengarah, Feroz banyak membimbing saya menjayakan watak seperti apa yang dimahukan,” katanya.

Lisa pula mempunyai pandangan berbeza dengan perkara ini. Katanya, sama ada perlu atau tidak membaca naskhah asal bergantung kepada pelakon itu sendiri.

Katanya, ada pelakon lebih gemar mengenali watak bakal dilakonkan menerusi pembacaan novel itu sendiri, namun ada yang lebih senang bergantung sepenuhnya kepada skrip.

“Ada pelakon berasakan apa yang dialih dari novel kepada skrip filem atau drama sudah mencukupi dan selebihnya bergantung kepada pengarah bagaimana dia mahu pelakon itu menjayakan watak terbabit.

“Bagi saya, untuk menjayakan watak Aleeya Azmin dalam filem ini, saya bergantung sepenuhnya kepada skrip apabila pembikinannya mahu dilaksanakan dalam waktu terdekat,” katanya.

Lisa akui tidak sempat membaca novel ini untuk mendalami watak itu sebagaimana digambarkan penulis novel, tetapi percaya dengan skrip disediakan produksi Global Station Sdn Bhd.

“Saya yakin dengan mereka kerana berpengalaman menghasilkan karya diadaptasi dari novel kepada filem mahupun drama sebelum ini.

“Pembacaan skrip untuk semua pelakon juga tidak dapat dilakukan memandangkan masa suntuk dan produksi mahu penggambaran dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Pengalaman bekerja dengan Feroz membuatkan Lisa yakin dia mampu memberi persembahan terbaik untuk Suamiku Encik Perfect 10.

“Secara jujurnya, memang saya gementar menjayakan filem ini. Mungkin ada babak dilakonkan sama dengan filem sebelum ini dan nampak ringan dari sudut penceritaan, namun pembawaan watak agak berat. Emosi dilalui watak utamanya naik turun seperti ‘roller-coaster’.

“Bayangkan Aleeya sebagai gadis yang dirogol kekasihnya, kemudian mengandung anak luar nikah. Berdepan situasi harus bersemuka dengan keluarga dan berpura-pura sudah berkahwin dengan lelaki yang hanya dikenali beberapa jam. Hakikatnya, saya tidak pernah hamil,” kata isteri Yusry Abdul Halim itu.

Mengikut perancangan asal, Suamiku Encik Perfect 10 untuk telefilem berbajet tinggi tetapi penerbit berpendapat ia sangat sesuai ditayangkan sebagai filem kerana percaya dengan kualiti lakonan dan nama pelakon ditampilkan.

Telefilem Suamiku Encik Perfect 10 dihasilkan dalam durasi empat jam dengan dua sekual, tetapi dimampatkan menjadi filem berdurasi satu jam 45 minit.

Ditanya bagaimana situasinya apabila filem Suamiku Encik Perfect 10 dialih dari telefilem kepada filem, kata Lisa, sebagai pelakon mereka dimaklumkan terlebih dulu mengenai perkara itu dan urusan pembayaran turut dibincangkan semula apabila penerbit mahu tayangkan di pawagam.

Selain Aaron dan Lisa, turut membintangi filem ini ialah Syazwan Zulkifly, Raja Ilya, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid dan Jehan Miskin.

Filem bakal ditayangkan di pawagam pada 22 Januari ini mengisahkan pertemuan tidak diduga antara Aleeya Azmeen, pelajar perubatan dan Zarief Danial, ahli perniagaan ketika sama-sama dalam penerbangan pulang dari Heathrow, London ke Kuala Lumpur.

Pertemuan itu membawa mereka kepada satu konflik, di mana mereka menjadi suami isteri bagi mengaburi mata keluarga Aleeya kerana dia mengandungkan anak luar nikah selepas dirogol kekasihnya sewaktu belajar di luar negara.

Mereka pura-pura berkahwin selama seminggu tetapi lakonan mereka mencetuskan perasaan lain dalam diri Zarief Danial dan Aleeya Azmeen.

Bagaimanapun, tidak semudah itu untuk mereka mencipta kebahagiaan kerana kehadiran pihak ketiga iaitu bekas kekasih Aleeya Azmeen dan gadis yang mencintai Zarief Danial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:06 AM