YAHAMA EXCITER T150.
BAHAGIAN depan lebih bergaya.
PANEL meter kelajuan dengan teknologi terkini.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Yamaha Motor Co Ltd melancarkan model motosikal kapcai terbarunya menerusi Exciter T150 di Vietnam, baru-baru ini.

Motosikal yang dibangunkan untuk pasaran Asean itu menawarkan gaya tunggang sporty dengan menggabungkan enjin pancitan terus bersesaran 150 cc serta sistem penyejuk cecair.

Jentera itu bakal menggantikan Yamaha Exciter T135 atau jika di negara ini, ia lebih dikenali Yamaha LC135 yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM).

Yamaha Exciter T150 yang digelar ‘Raja Jalanan’ disasarkan untuk memenuhi penunggang berumur sehingga 30 tahun dengan penampilan agresif serta beratnya dikurangkan berbanding Yamaha Exciter T135.

Ciri utama jentera itu adalah ia lebih bertenaga berikutan sistem ekzos dan suntikan ditala semula, selain

padanan kerangka ringan serta rim aluminium.

Gaya penampilannya sangat mantap berbanding jentera lain selepas menerapkan rekaan motosikal berkuasa tinggi iaitu Yamaha YZF-R1.

Enjin kapasiti 150 cc mampu menyalurkan 15.4 PS, berbanding 12.5 PS yang menggunakan rangkaian kuasa bersesaran 135 cc, selain torknya lebih tinggi iaitu 13.9 Nm pada 7,000 rpm.

Biarpun ia menggunakan enjin besar, beratnya hanya 115 kilogram (kg) berbanding 116 kg bagi model Yamaha Exciter T135, selain padanan tangki petrol dengan kapasiti 4.2 liter.

Model terbaru keluaran Yamaha itu bakal disasarkan sehingga 170,000 unit jualan untuk tahun pertama selepas pelancaran di Vietnam.

Yamaha Motor sebelum ini melancarkan Yamaha Exciter T135 pada 2005, yang mana ia menjadi model pertama menggunakan enjin dengan cecair penyejuk.

Enam tahun kemudian, generasi kedua Yamaha Exciter T135 dilancarkan dan kedua-dua model itu menjadi kegilaan sasaran golongan muda.

INFO

Yamaha Exciter T150

- Enjin: 150 cc, empat lejang dengan cecair penyejuk

- Kuasa maksimum: 15.4 PS pada 8,500 rpm

- Tork maksimum: 13.9 Nm pada 7,000 rpm

- Berat: 115 kg

- Kapasiti tangki petrol: 4.2 liter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:02 AM