Oleh Ustaz Haslin Baharin

Jika saya ingin berzakat harta benda, bolehkah saya memindahkan wangnya kepada orang yang dikenal pasti menerusi transaksi online Bagaimana pula dengan akadnya?

SHAKIRA

Kuala Kangsar, Perak

Zakat adalah ibadah harta. Pengeluaran zakat tidak perlu kepada akad. Syarat sah zakat ialah perlu kepada niat (membayar zakat) dan pemindahan milik kepada asnaf secara sempurna. Jika ini dapat dilakukan, sempurnalah zakatnya.

Bagaimanapun, pemberi zakat hendaklah memastikan asnaf yang paling layak menerima zakatnya.

Ibadat, syarat zakat dan penyerahan sudah memadai tetapi beberapa pandangan perlu diambil kira untuk diberikan kepada asnaf, golongan yang betul dan tepat.

Saudari boleh merujuk firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk orang fakir dan orang miskin dan amil dan mualaf yang dijinakkan hati mereka dan hamba yang hendak memerdekakan dan orang berhutang dan untuk dibelanjakan ke jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.” (Surah at-Taubah, ayat 60)

Semoga zakat dapat membersihkan, meningkat dan memberi keberkatan kepada harta orang yang beriman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 2:16 AM