AP

London: Setiap kali Arsenal gagal menewaskan skuad menduduki kelompok teratas Liga Perdana Inggeris, peluang mereka merangkul gelaran menjadi semakin tipis.

Bertandang ke gelanggang juara bertahan, Manchester City malam esok, tumpuan Gunners yang kali terakhir muncul juara pada 2004 hanya satu, mahu kembali menduduki salah satu slot dalam empat pasukan teratas.

Kali terakhir Arsenal mengalahkan City dalam aksi liga tiga tahun lalu, tetapi sejak itu Gunners sering kecewa apatah lagi kekuatan skuad dimiliki Kumpulan Abu Dhabi itu semakin gagah setiap tahun.

Musim lalu, Arsenal malu besar di Stadium Etihad apabila dibelasah 6-3. Walaupun Arsenal berjaya mengatasi City Ogos lalu, ia hanyalah pada saingan pembuka tirai liga Inggeris manakala pada aksi sebenar di Emirates sebulan kemudian, kedua-dua pasukan terikat seri.

“Kami perlu bermain dengan lebih bersemangat, lebih agresif dan memberikan penumpuan sepenuhnya,” kata pemain tengah Arsenal, Santi Cazorla. “Jika tidak, pasukan seperti ini pasti membunuh anda. Kami perlu berada pada tahap terbaik jika mahu menang.”

Bercakap soal kesempurnaan, Arsenal pastinya pening kerana senarai kecederaan pemain mereka menjejaskan perancangan yang mahu diatur.

Kapten Mikel Arteta mengalami kecederaan buku lali manakala Mathieu Debuchy cedera bahu kanan. Kedua-duanya baru menjalani pembedahan dan bakal diketepikan sekurang-kurangnya tiga bulan, kata pengurus Arsene Wenger.

“Nasib Mathieu memang malang. Sukar untuk dipercayai apabila dia perlu menjalani dua pembedahan dalam satu musim,” kata Wenger mengenai pemain pertahanan itu. September lalu, Debuchy menjalani pembedahan ligamen buku lali, sebulan selepas menyertai Arsenal.

City melayan kunjungan Arsenal selepas melepaskan peluang untuk terus menghambat Chelsea apabila sekadar seri dengan Everton hujung minggu lalu. Chelsea mungkin sudah mengumpul kelebihan lima mata menjelang sepak mula City-Arsenal andai anak buah Jose Mourinho itu menang ke atas Swansea malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:07 AM