Jakarta: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan berkemungkinan akan memotong enjin pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar laut sebelum diangkat.

Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia Bambang Supriyadi berkata, ia berikutan enjin pesawat kelihatan masih bergantung di sayapnya.

“Bagaimanapun, kita terpaksa memastikan terlebih dulu masalah di dasar laut supaya semua halangan dapat ditangani dengan cermat.

“Semua ini akan dapat dilakukan dengan anggaran penyelam boleh sampai atau tidak,” katanya.

Menurutnya, penyelam sendiri masih belum melaporkan hasil operasi hari ini sehingga perkembangannya pun masih belum boleh diketahui.

Katanya, penemuan kokpit dan mesin pesawat hari ini adalah objek terpenting untuk siasatan.

“Enjin pesawat ditemui berada di lokasi sama dengan penemuan kotak hitam dan ditimbus lumpur dan pasir.

“Sementara itu, hasil alat pengimbas sisi juga mengesan objek dipercayai kokpit pesawat,” katanya. - Detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 3:59 PM