Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Bangi: Seorang wanita berusia 40-an maut ketika mendapat rawatan di hospital selepas tersepit lebih satu jam apabila kereta Proton Aeroback dipandu dirempuh lori membawa muatan batu berhampiran simpang tiga Jalan Besar Pekan Bangi Lama 7.35 pagi tadi.

Kejadian dikatakan berlaku apabila lori seberat 10 tan itu dipercayai menghadapi masalah brek sebelum merempuh kereta mangsa dan sebuah lagi kereta model Naza Sutera dipandu lelaki berusia 30-an.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan pemandu kereta Naza Sutera namun gagal menyelamatkan mangsa wanita yang terperosok di bawah lori.

Sepasukan enam anggota bomba dan penyelamat Bandar Baru Bangi yang tiba ke lokasi kejadian pada 7.45 pagi terpaksa mendapatkan bantuan kren bagi mengangkat lori itu.

Mangsa yang masih sedar ketika usaha menyelamat dilakukan kemudian berjaya dikeluarkan anggota bomba dari dalam kereta yang remuk pada 8.47 pagi.

Mangsa yang cedera parah dari bahagian pinggang ke bawah kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, mangsa wanita yang tersepit meninggal dunia akibat kecederaan parah organ dalaman di Hospital Serdang petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 11:08 AM