IMEJ yang dirakam Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) kapal Singapura, RSS MV Swift Rescue. FOTO ihsan Tentera Laut Singapura

Jakarta: Misi mengangkat badan utama pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 diteruskan pagi ini oleh pasukan penyelam elit Tentera Nasional Indonesia selepas tergendala semalam akibat cuaca buruk.

Semalam, pasukan itu gagal turun ke dasar laut untuk memeriksa mayat dan menganggarkan berat bangkai pesawat berikutan jarak penglihatan hanya dua meter, hujan lebat, angin kencang dan arus deras.

Pengarah Operasi Badan SAR Nasional (BASARNAS) Indonesia Bambang Supriyadi berkata, sebanyak enam kapal ditempatkan di kawasan utama pencarian terutama pada koordinat lokasi penemuan badan pesawat dan penyelam mula beroperasi kira-kira 6 pagi WIB (7 pagi waktu Malaysia) tadi.

"Sebanyak tiga pasukan terdiri daripada lima penyelam profesional ditempatkan di sektor kawasan pencarian.

"Kapal yang berada di lokasi ketika ini adalah KRI Yos Sudarso, KN Pacitan, kapal GeoSurvey, KN Baruna Jaya, KN Andromeda, KRI Barakuda, dan KRI Banda Aceh yang akan tiba di lokasi, pagi ini," katanya di Lapangan Tentera Udara Iskandar, hari ini.

Supriyadi berkata, pasukan pemantauan udara helikopter Puma turut mengesahkan proses mengangkat badan utama pesawat tidak memerlukan waktu lama jika cuaca baik.

"Kita turut menyediakan tongkang untuk proses mengangkat bangkai badan QZ8501 jika peralatan seperti 'lifting bag' masih belum mencukupi.

"Jika cuaca baik kita boleh menganggarkan setengah hari untuk menaikkan bangkai pesawat berkenaan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca, berikutan badan lebih berat berbanding ekor," katanya. -Detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 10:23 AM