DIKEHENDAKI polis.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Polis memburu seorang lelaki dipercayai terbabit dengan kes samun di beberapa kelab malam sekitar Brickfields.

Suspek dikenali sebagai M Gobi Nair, 35, dikenal pasti dan diburu selepas polis berjaya menahan isteri suspek dan seorang rakannya di kawasan Jinjang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, isteri suspek sudah dibebaskan dengan ikat jamin selepas diambil keterangan.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah menceroboh masuk ke pusat hiburan yang sudah menamatkan operasi.

" Suspek akan mencabut dan mengambil rakaman kamera tertutup (CCTV) di pusat itu bagi mengelakkan daripada dikesan.

"Dengan tertangkap rakan suspek ini, kita percaya dapat menyelesaikan sembilan kes rompakan di sekitar Brickfields," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, hari ini.

Katanya, orang ramaj yang mempunyai maklumat boleh hubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau IPD Brickfields 03-9051 6222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 2:55 PM