Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Tiga suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 25 hingga 30 tahun ditahan kerana disyaki merancang untuk menyertai Kumpulan Militan Negara Islam (IS) di Syria selepas ketiga-tiga individu terbabit ditangkap pada 7 hingga 15 Januari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiga suspek yang ditahan juga disyaki terbabit dalam merekrut dan menguruskan penghantaran tiga rakyat Malaysia ke Syria melalui negara ketiga sebelum ini.

"Hasil siasatan mendapati kesemua suspek pernah diusir dari Australia kerana menyalahgunakan visa pelancongan," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Khalid berkata, dua suspek lelaki yang ditahan adalah bekas penyelia kilang di Selangor serta bekas operator kilang di Lembah Klang manakala suspek wanita hanyalah suri rumah.

Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah bab VIA- kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 7:29 PM