PERLUMBAAN OMR medan persediaan terbaik bakat muda tempatan.

Kuala Lumpur: Khusus buat remaja berbakat yang berminat untuk menceburi bidang perlumbaan secara profesional, pendaftaran bagi sesi pemilihan pelumba untuk kategori Perlumbaan Kategori Satu Pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2015 sudah dibuka.

Sama seperti musim terdahulu, perlumbaan yang dianjur bersama pengeluar, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Malaysia Sdn Bhd itu terus memainkan peranan penting melahirkan pelumba berbakat tempatan khususnya di peringkat remaja.

Antara bakat yang lahir daripada program itu termasuk dua pelumba Program Pembangunan Bakat Pelumba PETRONAS ketika ini, Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2) dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (Moto3) yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier dalam siri perlumbaan Junior GP pada 2007.

Turut mengikut jejak langkah sama adalah pelumba berusia 17 tahun, Khairul Idham Pawi yang akan beraksi dalam saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV selepas mempamerkan aksi cemerlang menjuarai dua kelas perlumbaan, Wira dan Piala Impian Asia (ADC) pada 2014.

“Sukan permotoran membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi dan ada kalanya ia menjadi penghalang kepada remaja yang berminat dan berbakat untuk memulakan langkah awal dalam karier perlumbaan.

“Dengan adanya siri perlumbaan satu pengeluar ini, ia dapat meringankan beban pelumba kerana pihak pengeluar akan menyediakan jentera, peralatan perlumbaan dan juga persediaan teknikal.

“Pelumba terpilih hanya perlu memberi sepenuh tumpuan untuk mengasah dan mempamerkan bakat dalam perlumbaan begitu kompetitif ini,” jelas Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) Ron Hogg.

Pendaftaran terbuka kepada pelumba berumur 13 hingga 27 tahun. Kepada yang berminat boleh menghubungi SAM di talian 03-87338787 dari 10 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat atau membuat pendaftaran melalui laman facebook Malaysian Cub Prix.

Tarikh tutup pendaftaran pada 23 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:49 AM