PEMAIN West Ham meraikan kejayaan penalti Adrian (kanan).
AFP

London: Penjaga gol West Ham United Adrian muncul wira pasukannya selepas mereka berjaya mengatasi Everton 9-8 pada penentuan penalti perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi semalam.

Enner Valencia meletak West Ham di depan pada awal babak kedua di Upton Park ketika Everton terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Aiden McGeady dilayangkan kad merah. Begitupun, sepakan percuma Kevin Mirallas pada lewat permainan menerjah gawang West Ham sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Mirallas berganding baik dengan Romelu Lukaku untuk meletakkan pelawat di depan, tetapi pemain gantian West Ham, Carlton Cole menjadikan kedudukan 2-2 dan Adrian menyempurnakan penalti kemenangan selepas sepakan penjaga gol Everton, Joel Robles terkena palang.

“Ia perlawanan yang sukar dipercayai. Saya gembira kami muncul pemenang,” kata Adrian. “Saya cuba bertenang ketika mengambil sepakan (penalti). Kami kini sudah menang dan melangkah ke pusingan seterusnya.”

Skuad Sam Allardyce kini akan menentang Bristol City di pusingan keempat selepas pasukan itu menang 2-0 ke atas Doncaster Rovers hasil jaringan bekas penyerang Arsenal Jay Emmanuel-Thomas.

Valencia memecahkan kebuntuan ketika perlawanan babak kedua memasuki minit keenam apabila dia yang menerima hantaran Andy Carroll, melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Robles.

Impian pelawat mengekalkan kelebihan mula terancam apabila McGeady dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Mark Noble.

Cubaan jarak dekat Mirallas berjaya dihalang James Tomkins, tetapi dia berjaya memberikan kelebihan 2-1 pada minit ke-82.

Allardyce memasukkan Cole dan pemain itu menjaringkan gol ketika permainan berbaki seminit 40 saat.

Adrian menyelamatkan penalti kedua Everton yang diambil Steven Naismith, tetapi Stuart Downing melepaskan peluang untuk membolehkan pasukan merayakan kemenangan lebih awal apabila bolanya diselamatkan Robles.

Ketika kedudukan 8-8, Robles tampil mengambil sepakan, tetapi cubaannya terkena palang dan tiba giliran Adrian yang bijak memperdayakan Robles sekali gus memastikan pasukannya layak ke pusingan keempat buat kali pertama sejak 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:44 AM
Skip this ad x