AFP

Melbourne: Pemain veteran Roger Federer dan Maria Sharapova melangkah penuh yakin ke aksi pembukaan Grand Slam 2015 minggu depan, tetapi mereka akan dicabar pemain muda dan berpengalaman pada pertandingan itu nanti.

Federer, 33, melakar kemenangan ke-1,000 Ahad lalu selepas menewaskan pemain Kanada, Milos Raonic sekali gus menjulang gelaran Antarabangsa Bisbane yang menjadi aksi pemanas badan sebelum Terbuka Australia. Kejayaan itu pasti meresahkan pesaing utamanya Novak Djokovic dan Rafael Nadal.

Pemain nombor dua dunia itu kini memburu kejayaan ke-1,007 dan andai berjaya, gelaran selaku juara Terbuka Australia pasti menjadi miliknya di Melbourne Park nanti.

“Ya, saya percaya mampu melakukannya,” kata Federer ketika ditanya mengenai peluangnya merangkul kejuaraan Terbuka Australia kelima dan kejayaan Grand Slam ke-18 sepanjang karier.

“Begitupun, ia hanyalah satu impian. Saya yang perlu bekerja keras di gelanggang untuk mengatasi semua lawan.”

Sementara itu, persiapan pemain nombor satu dunia Djokovic sedikit terjejas apabila ditundukkan pemain Croatia Ivo Karlovic di suku akhir Terbuka Qatar.

Keadaan turut tidak menyebelahi Nadal apabila berdepan kekalahan mengejutkan pada perlawanan pertama tahun baru di tangan pemain Jerman, Michael Berrer di Doha.

Bintang Sepanyol itu yang sudah merangkul 14 gelaran Grand Slam, bermain beberapa perlawanan sejak berakhirnya Wimbledon Julai lalu, tetapi persembahannya masih lagi belum mencapai tahap sebenar.

“Saya perlu kembali semula ke tahap terbaik dalam masa terdekat dan itulah yang sedang saya usahakan.”

Pemain Swistzerland, Stan Wawrinka adalah juara bertahan selepas menundukkan Nadal tahun lalu dan dia bakal berdepan cabaran pemain Britain Andy Murray serta pemain Jepun Kei Nishikori.

Maria pula mengatasi Ana Ivanovic di Brisbane minggu lalu dan ia adalah kemenangan ke-34 sepanjang kariernya.

Maria muncul juara Terbuka Australia pada 2008 dan Ana adalah musuhnya di final edisi berkenaan.

Musuh paling ketat yang perlu diatasi Maria pada tahun ini ialah Serena Williams yang mahu memburu gelaran Terbuka Australia buat kali keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:29 AM
Skip this ad x