JANGAN lupa rakam gambar kenangan di lokasi dilawati.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

Anda suka menjelajah keindahan alam dan merasai sendiri pengalaman mempesona yang disajikan?

Cubalah, jangan hanya menikmatinya secara visual sebaliknya mengabadikan kenangan manis itu dengan pelbagai cara termasuk menulisnya.

Dengan teknologi serba canggih kini pelbagai cara untuk mengabadikan kenangan manis saat bercuti, tetapi ada ketikanya semua gambar atau video dirakam itu hanya tersimpan di dalam komputer.

Paling tidak pun, disimpan di dalam album dan hanya dibelek sekali-sekala.

Berlainan dengan menulis, apa yang dicatatkan itu akan tetap dikenang termasuk segala pengalaman dirasai ketika itu.

Bayangkan kenangan anda bertahun-tahun lalu masih terkenang dan terbayang. Ia nyata sesuatu yang menyenangkan dan mungkin boleh membuatkan anda tergelak besar jika ada perkara melucukan berlaku saat itu.

Ramai yang berpendapat tidak kreatif untuk menulis pengalaman dilalui saat bercuti, tetapi hakikatnya ia cukup mudah.

Anda tidak perlu menulis seperti penulis handalan, cukup sekadar menulis apa yang dirasai dan semua kandungannya berkisar pengalaman dialami.

Bagi memudahkan anda, jom semak Tip Melancong minggu ini yang menyenaraikan beberapa panduan untuk mengabadikan kenangan bercuti dengan penulisan.

Hayati keindahan alam dan keunikan sekitar

Cuba lihat kiri dan kanan anda ketika menjelajah kawasan baru. Mungkin anda akan menemui perkara unik yang tidak biasa anda lihat.

Ketika memandang objek yang jarang ditemui, hayati dengan teliti. Bayangkan bagaimana anda ingin menceritakan kepada orang lain mengenai penemuan itu.

Buat catatan ringkas

Mengunjungi banyak tempat saat bercuti sememangnya memungkinkan anda untuk lupa dengan apa yang dilihat dan rasakan.

Boleh saja anda mengambil keputusan untuk tidak perlu langsung mencatatnya segala pengalaman yang ada dan hanya mengingatinya.

Namun, untuk mengabadikan kenangan dengan penulisan, sekali gus membuatkan penulisan anda itu lebih bermaklumat dan menyeronokkan, jangan pernah meninggalkan alat tulis anda ke mana saja anda pergi.

Alat tulis dimaksudkan bukanlah perlu lengkap dengan segala-galanya tetapi hanya sekadar sebatang pen dan buku nota untuk mencatat apa-apa yang menarik sepanjang perjalanan anda.

Tulis seringkasnya dan kembangkan catatan itu dengan pengalaman anda saat mengunjungi lokasi menarik.

Jangan lupa rakam

Apabila anda sudah menulis semua maklumat, bermakna satu lagi langkah berharga di tangan. Kamera profesional mahupun kamera kompak, perakam video serta kamera telefon bimbit juga boleh beraksi merakam memori indah anda.

Foto mahupun video itu akan jadi kenangan berharga saat anda kembali melihatnya selepas sekian lama.

Tidak mustahil anda akan merancang untuk mengunjungi destinasi percutian yang memberikan anda pelbagai kenangan indah selepas melihat kembali gambar serta video dirakam dahulu.

Tulis dalam bentuk penulisan menarik

Rugi rasanya jika pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan hanya tersimpan di dalam komputer mahupun catatan semata-mata.

Justeru, apa kata anda berkongsi segala pengalaman saat bercuti kepada orang ramai. Selain berkongsi pengalaman, anda juga secara tidak langsung dapat mempromosikan keindahan alam dan budaya sesebuah daerah dikunjungi.

Namun, biarlah cara penulisan itu menarik supaya memberikan keseronokan kepada si pembaca.

Ketika anda mengabadikan perjalanan dalam bentuk tulisan juga secara tidak langsung anda akan terus terkenang dan tak lekang waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:01 AM