AFP

Chennai

Ia seolah-olah sebuah drama Hindi - sesuai dengan negara insiden ini terjadi.

Seorang lelaki ingin berkahwin dengan seorang wanita pujaan hatinya dan sanggup berbuat apa saja demi mencapai hasratnya.

Cuma, lelaki terbabit mempunyai satu masalah - dia sudah mempunyai seorang isteri.

Mungkin kerana tidak sanggup menanggung penderitaan batin, lelaki terbabit mengambil pil tidur berlebihan dengan harapan dapat membunuh diri, tetapi dia diselamatkan.

Lelaki terbabit kemudian meminta polis membantu menyatukan dirinya dengan si kekasih.

Lelaki berkenaan mendakwa kononnya hubungan cinta itu tidak kesampaian kerana bapa kekasihnya tidak merestui hubungan mereka.

Selepas mendengar rintihan itu, anggota polis berkenaan bersetuju menolong.

Ketika niat lelaki itu hampir tercapai, tiba-tiba isterinya muncul dan menceritakan keadaan sebenar.

Jurucakap polis berkata, wanita itu menunjukkan bukti bahawa dia adalah isteri sah lelaki terbabit sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, hasil perkahwinan mereka, pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak berusia tiga bulan.

“Wanita berkenaan mendakwa suaminya mula berlaku curang ketika dia pulang ke kampung kerana ingin bersalin,” katanya.

Jurucakap polis semalam berkata, si suami sebenarnya menjalinkan hubungan sulit dengan kawan isterinya sendiri.

“Si isteri mula curiga apabila telefon suaminya sentiasa gagal dihubungi dan tidak pulang melawat anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, kata jurucakap polis, ketika itu si isteri masih belum mendapat kepastian.

Rahsia itu akhirnya terbongkar kelmarin apabila stesen televisyen menyiarkan laporan berita mengenai cubaan membunuh diri si suami.

“Disebabkan berang dengan kecurangan itu, wanita terbabit menuntut polis mengambil tindakan terhadap suami dan si kekasih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:04 AM