Pangkalan Bun: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) berjaya menemui badan utama pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 bersama mayat yang terperangkap di dalamnya.

Pengarah Operasinya Bambang Supriyadi ketika ditemui di Lapangan Tentera Udara Iskandar mengesahkan penemuan itu kira-kira 1.7 batu nautika berhampiran ekor pesawat arah timur laut.

“Kedudukan badan pesawat ini tidak berada berdekatan sayap yang menindih Perakam Suara Kokpit (CVR).

“Bagaimanapun, pasukan SAR gabungan akan mengangkat badan utama ini menggunakan beg pelampung sama seperti kaedah digunakan untuk menaikkan ekor pesawat,” katanya.

Menurutnya, BASARNAS akan menambah kekuatan pasukan dan kapal tongkang sudah disediakan di Pelabuhan Panglima Utar Kumai.

“Sekarang kapal KN Jadayat berada di lokasi bangkai utama. Proses pengangkatan kira-kira sama dengan ekor iaitu menggunakan beg pelampung yang sudah ada di lokasi kejadian.

“Mungin ada beberapa tambahan belon apungan yang kita cuba turunkan di dalam air. Ia boleh mengangkat keseluruhan badan pesawat,” kata Supriyadi.

Katanya, penemuan bangkai utama pesawat diberi keutamaan berikutan BASARNAS menjangkakan terdapat lebih 50 peratus mayat masih berada di dalamnya. - Detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 3:48 PM