PROSES memuat turun data akan disaksikan pasukan dari Perancis.

Jakarta : Data dari alat Perakam Data Penerbangan (FDR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 akan dimuat turun oleh pasukan penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Indonesia dengan disaksikan pasukan KNKT Perancis.

"Proses memuat turun data akan dijalankan mengikut prosedurnya selain disaksikan pasukan dari Perancis," kata Ketua Penyiasat KNKT untuk AirAsia Indonesia, Prof Mardjono Siswosuwarno kepada detik.com.

Katanya, sekiranya keadaan FDR masih baik, data dalam rakaman akan dipindahkan ke komputer.

"Kita belum boleh menganalisa datanya, hanya boleh dimuat turun. Datanya seperti metrik, parameter penerbangan, ketinggian, arah, kelajuan, udara, angin di atas pesawat dan goncangan yang berlaku masih berbentuk angka dan ia akan diubahsuai dalam bentuk jadual dan gambar rajah, " katanya.

Menurutnya, selepas jadual siap baru mereka boleh grafik penerbangan.

"Sekurang-kurangnya kami memerlukan masa dua minggu untuk membuat grafik sebelum memulakan tugas analisa," katanya.

Berdasarkan perancangan, pagi ini pasukan penyelam Elit Indonesia akan mengangkat alat perakam suara kokpit ( CVR ) yang disebut Basarnas berada tidak jauh dari lokasi penemuan FDR. Selain itu, Basarnas juga akan meneruskan pencarian mangsa nahas pesawat berkenaan. - detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 10:19 AM