BUAH kundong.
BUAH mentega.
PELBAGAI spesies buah nadir terdapat di MARDI.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Bukit Datuk di Serdang, Selangor kurang dikenali se­perti Bukit Broga di Semenyih, namun menyimpan khazanah berharga kepada negara.

Berkeluasan 43.5 hektar, tanah yang diusahakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu sudah menampakkan hasil.

Buktinya, puncak tertinggi di Serdang dengan ketinggian 450 kaki dari aras laut itu kini menjadi tapak pemuliharaan pokok buah-buahan.

Misi menawan puncak itu direalisasikan Bahagian Komunikasi Korporat, MARDI, Serdang, Selangor.

Menggunakan kenderaan rasmi, perjalanan hampir 15 minit menemukan penulis dengan bank gen buah yang menjadi sumber genetik warisan negara.

Jujurnya penulis tidak menduga, bukit setinggi itu menyimpan koleksi buah nadir yang cukup banyak.

Kedatangan penulis dan kumpulan wartawan lain tepat pada masanya di saat sebahagian buah nadir itu tengah berbuah.

Usaha mengumpulkan buah bukan mengambil masa sehari dua sebalik­nya kajiannya dilaksanakan sejak 1985 dan masih aktif sehingga kini.

Dr Salma Idris yang juga pakar taksonomi genus durian antara individu terawal dalam membantu usaha pemuliharaan pokok buah-buahan.

Bagi generasi baru, mereka dianggap beruntung kerana dapat melihat pokok itu membesar dan berbuah.

Sebaliknya, Dr Salma bersama barisan penyelidik terpaksa meredah kampung dan kadangkala hutan bagi mendapatkan benih pokok yang jarang ditemui.

Dia perlu mengumpul maklumat lokasi pokok ditemui, jenis dan ciri pokok serta juga pengetahuan tradisional spesies dan semua itu memberi maklumat asas kepada pemuliharaan.

Maklumat yang dikumpulkan juga perlu direkodkan apatah lagi MARDI mempunyai subprogram penggunaan lestari kepelbagaian biologi pertanian.

Antara koleksi buah ditunjukkan kepada penulis dan tengah berbuah seperti berangan, kameto, ceri Terengganu, kundang, kedondong, melinjau dan delima.

Menariknya koleksi yang menjangkau usia 30 tahun itu menjadi aset paling penting apatah lagi sebahagian besar sudah dianalisis daripada aspek seperti kandungan proksimat, mineral, vitamin, karbohidrat dan antioksidan.

Bertindak sebagai Felo Penyelidik MARDI, Dr Salma tidak pernah melupakan bank gen milik MARDI itu sebaliknya berganding bahu bersama penyelidik baru untuk menjayakannya.

Usaha konservasi­nya kini dibantu Timbalan Pe­ngarah Program Sumber Strategik Dr Mohd Shukri Mat Ali @ Ibrahim dan pegawai penyelidknya, Mohd Norfaizal Ghazali serta pegawai penyelidik lain yang terbabit dalam pengumpulan buah-buahan nadir.

Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI Dr Mohd Norowi Hamid berkata, program agro biodiversiti di MARDI itu bertujuan membangunkan pertanian secara lestari.

Ia membabitkan tiga program utama dipertanggungjawabkan kepada bahagian berkenaan membabitkan Pengurusan Sumber Biologi, Pengurusan Persekitaran Pertanian dan Pengurusan Tanah.

"Tujuan utama penyelidikan ini ialah untuk me­ngumpul dan memulihara sumber genetik ini daripada ancaman kepupusan," katanya.

Benih buah nadir katanya, dikumpulkan melalui aktiviti ekspidisi atau pengumpulan dari pelbagai kawasan seluruh negara (hutan, dusun dan kebun kecil).

Ia disimpan secara 'ex-situ' di dalam bank gen ladang (germplasma) di beberapa stesen MARDI iaitu Serdang (Selangor), Jera­ngau dan Kemaman (Terengganu), Jelebu (Negeri Sembilan), Kuala Kangsar (Perak) serta Muadzam di Pahang.

Sehingga hari ini terdapat lebih 150 spesies buah nadir yang disimpan di bank gen ladang MARDI.

"Selain itu, pencirian dan penilaian ke atas semua aksesi spesies dalam koleksi mahupun yang terdapat di kampung dijalankan dengan tujuan mengenal pasti variasi spesies berpotensi untuk dikomersialkan," katanya.

Bank gen ladang ini terletak di kawasan Serdang A, B dan C (termasuk agro pelancongan) dan juga di Jalan Puchong.

Buah nadir katanya, adalah spesies buah yang kebanyakan tumbuh liar dan ditanam di sekitar halaman atau dusun kecil di kampung.

Keperluan untuk meningkatkan status dan penggunaan buah nadir ini kian mendapat perhatian amat menggalakkan di seluruh dunia.

Keba­nyakan spesiesnya mempunyai potensi sebagai sumber bahan kimia semula jadi yang bermanfaat kepada kesihatan.

"Sebagai contoh me­ngandungi alfa-karoten dan betakaroten yang baik untuk kesihatan mata.

"Selain itu, ada antara spesies mengandungi sebatian polifenol, vitamin C, asid lemak, garam mineral dan asid amino tinggi," katanya.

Memandangkan buah nadir mempunyai nilai pemakanan yang tinggi, MARDI juga menjalankan kajian produk tambah nilai seperti jus, halwa atau jeruk bagi beberapa jenis buah seperti kuini, binjai, aroi-aroi, asam gelugor dan kandis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:08 AM