Meskipun Amitabh Bachchan seorang legenda dan pencetus fenomena di Bollywood pada era 70-an, aktor berusia 72 tahun itu dapat menerima perubahan dunia perfileman hari ini.

Dia mengakui dunia perfileman kini yang terlalu banyak persaingan memerlukan produser, pengarah dan pelakon giat melakukan promosi.

Megastar itu kini sibuk mempromosikan filem terbaru lakonannya, Shamitabh.

"Dulu filem tak banyak diterbitkan, tetapi sekarang setahun ada ratusan filem baru. Oleh itu promosi perlu untuk beritahu kepada penonton filem apa yang bakal ditayangkan.

"Kadang-kadang saya ada juga terfikir promosi ini memberi keuntungan kepada siapa sebenarnya. Kalau filem itu tak bagus, ia tetap mendapat maklum balas yang kurang baik daripada penonton.

"Apapun sebagai pelakon saya akan tetap menjalankan tanggungjawab memperkenalkan filem lakonan saya kepada masyarakat kerana mereka adalah penentu kejayaan sesebuah filem.

"Saya dan pelakon bekerja keras untuk memastikan Shamitabh berjaya di pawagam," katanya.

Jelasnya lagi, selain sesi temu bual dan pelbagai atur cara lain, dia juga sudah pergi menemui peminat di Ahmedabad, Pune, Kolkata, Delhi dan Bangalore. Shamitabh yang diarahkan R Balki akan mula ditayangkan pada 6 Februari ini.

Dua lagi filem lakonan Amitabh yang akan ditayangkan, Wazir dan Piku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:01 AM