PELAKON Patricia Arquette (kiri), Lorelei Linklater, Ellar Coltrane dan Ethan Hawke bersama Richard Linklater (tengah).
Susunan Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Malam kemuncak anugerah Golden Globe ke-72 menyaksikan filem Boyhood arahan Richard Linklater mengunguli tiga trofi pada majlis yang berlangsung di Los Angeles, semalam.

Filem itu dinobatkan sebagai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik Filem (Linklater) dan Pembantu Pelakon Wanita Terbaik (Patricia Arquette).

Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang kanak-kanak lelaki bersama kakaknya dan penggambaran filem itu mengambil masa selama 12 tahun untuk siap.

Filem Birdman yang dicalonkan untuk tujuh kategori hanya membawa pulang dua trofi bagi Pelakon Lelaki Terbaik Filem Muzikal atau Komedi (Michael Keaton) dan Lakon Layar Filem Terbaik.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pula dimenangi pelakon British Eddie Redmayne bagi lakonannya sebagai ahli fizik dalam filem The Theory of Everything.

Kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem berpihak kepada Julianne Moore (Still Alice).

Sementara kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi J K Simmons (Whiplash).

Karya arahan Wes Anderson, The Grand Budapest Hotel yang menampilkan Ralph Fiennes sebagai pelakon utama diangkat Filem Muzikal atau Komedi Terbaik.

Siri televisyen The Affair yang mengisahkan hubungan sulit seorang guru dengan pelayan digelar Siri Drama Televisyen Terbaik.

Pada majlis gilang-gemilang itu juga, pelakon, pengarah dan produser terkenal George Clooney turut mendapat pengiktirafan khas trofi Cecil B DeMille Award sekali gus menghargai sumbangannya dalam bidang perfileman.

Acara tahunan anjuran Hollywood Foreign Press Association yang mengiktiraf penggiat siri televisyen dan filem itu dimeriahkan dengan gandingan mantap pengacara Tina Fey dan Amy Poehler.

Tahun lalu, anugerah Golden Globes mengangkat 12 Years a Slave sebagai pemenang Filem Terbaik manakala American Hustle sebagai Filem Muzikal atau Komedi Terbaik.

ANTARA PEMENANG:

-Filem Terbaik-Boyhood

-Pelakon Wanita Terbaik Filem-Julianne Moore (Still Alice)

-Pelakon Lelaki Terbaik Filem-Eddie Redmayne (The Theory of Everything)

-Pembantu Pelakon Wanita Terbaik Filem-Patricia Arquette (Boyhood)

-Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik Filem-J K Simmons (Whiplash)

-Pengarah Terbaik Filem-Richard Linklater (Boyhood)

-Lakon Layar Terbaik Filem-Alejandro Gonzalez Inarritu, Nicols Giacobone, Alexander Dinelaris & Armando Bo (Birdman)

-Filem Muzikal atau Komedi Terbaik-The Grand Budapest Hotel

-Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal atau Komedi-Amy Adams (Big Eyes)

-Pelakon Lelaki Terbaik Filem Muzikal atau Komedi-Michael Keaton (Birdman)

-Siri Drama TV Terbaik-The Affair

-Pelakon Wanita Terbaik Siri Drama TV-Ruth Wilson (The Affair)

-Pelakon Lelaki Terbaik Siri Drama TV-Kevin Spacey (House of Cards)

-Siri Muzikal atau Komedi TV Terbaik-Transparent

-Filem Animasi Terbaik-How To Train Your Dragon 2

-Filem Asing Terbaik-Leviathan (Russia)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:01 AM