PENERIMA Skim Bantuan Usahawan pada majlis penyerahan cek, kelmarin.

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasar untuk melahirkan 4,000 usahawan muda tahun ini dengan peruntukan RM40 juta di bawah Program Putra.

Pengarah Bahagian Pembangunan Industri dan Infrastrukturnya Hassan Mohd Amin berkata, menerusi program itu, MARA menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM10,000 kepada golongan berkenaan yang berminat untuk berniaga.

“Jumlah pemberian dana pembiayaan ini mengikut keperluan perniagaan masing-masing. Dalam hal pemberian dana ini, kami mengutamakan pelajar lepasan IPMa (Institusi Pendidikan MARA) seperti KPM (Kolej Profesional MARA) dan GiatMARA yang berminat untuk berniaga boleh memohon dana ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek Skim Bantuan Usahawan kepada 60 penerima di sini, semalam.

Hassan berkata, golongan muda berumur di bawah 40 tahun yang bukan lepasan IPMa juga boleh memohon kemudahan pembiayaan itu sekiranya mereka mempunyai rekod perniagaan yang lengkap dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Melalui program itu lebih 3,000 golongan muda mendapat manfaat daripada program itu tahun lalu dengan peruntukan RM30 juta, katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:05 AM