Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Hampir 25 tahun menceburi bidang seni, Azmee Abdul Manaf atau Daqmie akhirnya beroleh kejayaan manis mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Nasyid IKIM FM (ANI) 2014 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam kelmarin.

Mempertaruhkan lagu Tangis Sebatang Tamar ciptaannya sendiri dengan lirik Ito Lara, bekas penyanyi kumpulan rock East dan Barongan ini memukau penonton dengan lontaran vokal bertenaga.

Kemenangan itu membolehkan Daqmie membawa pulang wang tunai RM10,000 serta pakej umrah, penapis air kalsium berkalogen, baucer buku dan trofi yang kesemuanya bernilai RM40,000.

Selain itu, Daqmie juga diangkat sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta baucer buku bernilai RM2,000 serta trofi, manakala Ito Lara muncul pemenang kategori Lirik Terbaik dan membawa pulang hadiah berjumlah sama.

Tangis Sebatang Tamar turut menerima anugerah Lagu Paling Lama menjuarai carta IKIM FM.

UNIC yang tampil dengan lagu Seiring Sehaluan menduduki tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai RM7,000 beserta pakej umrah, penapis air kalsium berkalogen, baucer buku dan trofi yang kesemuanya bernilai RM30,000.

Penasyid solo Hafiz Hamidun yang menyampaikan lagu Kasih Padamu pula menduduki tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta pakej umrah, pakej penginapan hotel, baucar buku dan trofi yang semuanya bernilai RM20,000.

Persembahan terbaik pula diraih Mawi dan Datuk AC Mizal menerusi lagu Al Haq... Yang Satu yang membawa pulang RM3,000 beserta baucar buku bernilai RM2,000 serta trofi.

ANI 2014 anjuran radio IKIM FM menampilkan 10 peserta yang berjaya ke pentas akhir iaitu Mawi & Datuk AC Mizal (Al Haq... Yang Satu), Halim Ahmad (Dalam Sujud Cintaku), Inteam (Iman & Aman), Hafiz Hamidun (Jodoh Berdua), Hafiz Hamidun (Kasih Padamu), NowSeeHeart (Maafkan Aku), D'ua feat Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir & Azfar (Rindu Ini), UNIC (Seiring Sehaluan), Daqmie (Tangis Sebatang Tamar) dan Amirul Haswendy (Ucaplah Alhamdulillah).

Daqmie yang ditemui menyifatkan kemenangan ini membuktikan perjuangan seninya tidak sia-sia dan akan terus menghasilkan lagu yang mempunyai mesej kepada peminat.

"Pada mulanya saya menceburi bidang seni kerana minat. Selepas itu saya jadikannya sebagai kerjaya dan sekarang sebagai mata pencarian. Pada 2008 saya pernah terbabit dalam pembikinan album Rabbani dan berjaya meraih anugerah produksi terbaik.

"Saya sudah tahu selok-belok penerbitan album sekali gus memudahkan lagi kerjaya saya. Selepas ini saya akan bekerjasama pula dengan Rabbani untuk single terbaru berjudul Berpaut Pada Sabdamu.

"Lagu ini menggandingkan saya, Zulkifli Azman (penyanyi utama Rabbani) dan suara Allahyarham Ustaz Asri sendiri,"katanya yang mula beralih haluan kepada perjuangan dakwah sejak 2002.

Daqmie yang suka membuat eksperimen menggabungkan muzik Melayu dan Arab, menyifatkan kemenangan ini memudahkan lagi perjuangan seni dakwahnya terhadap peminat.

"Bila ada kejayaan, album akan mencatat peningkatan jualan agak banyak. Tak dinafikan sebelum ini agak sukar nak pasarkan album kerana orang tak berapa kenal saya," katanya.

UNIC yang kini dianggotai Bazli dan Fakhrul tidak menganggap pengunduran Fazli menjejaskan persembahan mereka. Persembahan santai mereka ternyata membuka mata juri yang membolehkan mereka mendapat tempat kedua.

"Tak disangka rezeki memihak kepada kami malam ini. Fazli mengundur diri dari UNIC sejak Disember lalu bagi memberikan tumpuan pada kariernya sebagai hos program TV selain sibuk menguruskan kelas motivasi kendaliannya," kata mereka yang akan muncul dengan album The Greatest Hits UNIC memuatkan 17 buah lagu selepas ini.

Biarpun menang Anugerah Artis Solo Pilihan Pendengar, Lagu Pilihan Pendengar dan Lagu Paling Lama Bertahan dalam Carta IKIM FM, Hafiz akur menduduki tempat ketiga dalam ANI 2014.

"Saya tak letakkan harapan pun. Saya tak sempat nak buat persiapan sepenuhnya untuk pertandingan ini kerana sibuk turun ke Kelantan untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

"Hujung bulan ini saya akan tampil dengan album terbaru berunsurkan kecintaan terhadap Rasullullah SAW. Selain itu saya juga baru menyiapkan lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza berjudul Mikraj Cinta," katanya.

Hadiah Artis Baru Nasyid Terbaik dimenang oleh kumpulan D'ua, manakala NowSeeHeart kategori Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar.

Teruskan penganjuran

Penonton malam itu turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan Datuk Hattan dengan lagu Kau Yang Satu dan disusuli dengan Tomok menerusi lagu Bila Tiba.

Seterusnya acara disusuli dengan bacaan doa dari Ustaz Don Daniyal.

Paling menarik tumpuan ramai ialah persembahan Hazama, Noh Salleh dan Alif Satar yang menyampaikan lagu tribute buat Raihan dan Rabbani yang mengundang tepukan bergemuruh penonton.

Persembahan yang dihoskan oleh Amin Idris dan Heliza Helmi ini turut menampikan penyampai IKIM FM dalam segmen pengumuman pemenang.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah Wan Alias Abdullah.

Nik Mustapha berkata, pihaknya teruja dengan sambutan yang diberikan peminat dan berjanji akan meneruskan lagi penganjuran ANI pada tahun seterusnya.

"Perjuangan Radio IKIM ialah nak mengarusperdanakan industri nasyid. Lagunya pula berunsur ketuhanan dan bagi keinsafan kepada kita. Saya bangga kerana TV Alhijrah juga sudi bekerjasama dengan kami dan matlamat kami ialah bawa nasyid sebagai hiburan alternatif kepada lagu sedia ada," katanya.

Wan Alias menyokong usaha ini namun berharap jumlah hadiah kemenangan dinaikkan lagi untuk merangsang kreativiti peserta serta sebagai pengiktirafan terhadap industri lagu nasyid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:01 AM