Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


Tahun baru 2015 disambut gembira buat penyampai Hot FM dan pelakon Sharifah Aleya serta penyanyi Ayu Damit apabila keduanya-duanya selamat melahirkan bayi lelaki, baru-baru ini.

Sharifah Aleya atau Leya melahirkan bayi seberat 2.5 kilogram (kg) jam 5.50 pagi Jumaat lalu, manakala Ayu melahirkan bayi seberat 3.2kg jam 11.15 malam kelmarin.

Kedua-duanya bersalin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Leya berkata, kehadiran bayi sulung hasil perkahwinan keduanya dengan Mohammed Azam Abdullah atau Miko itu juga lebih istimewa kerana dia dilahirkan dua hari sebelum ulang tahun pertama perkahwinan mereka yang diraikan semalam.

Dalam perkahwinan pertamanya, Leya dikurniakan anak kembar iaitu Asha Ameena dan Aza Ameena yang kini berusia lima tahun.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya selamat bersalin secara normal.

"Terus terang saya masih dalam keadaan tidak percaya dapat anak sampaikan tak jemu-jemu tatap wajah anak saya. Mungkin agak lama tidak ada anak kecil. Kadang-kadang rasa kekok pula hingga terpaksa minta tunjuk ajar daripada doktor mengenai beberapa perkara," katanya yang menggelarkan bayinya itu dengan nama 'Peanut'.

Seperti pasangan Awal Ashaari dan Scha Al Yahya sebelum ini, Leya juga tidak menunjukkan wajah bayinya di Instagram serta masih merahsiakan namanya.

Dalam Instagram miliknya, Leya memuat naik gambar kaki anaknya itu serta gambar Miko mendukung sambil mengagah bayi itu dan anak kembarnya yang membelai 'adik baru' mereka itu.

Semua gambar itu tidak menunjukkan wajah bayi terbabit.

"Sebenarnya sama ada bayi lelaki atau perempuan, kami tak kisah asalkan bayi sihat dan saya selamat. Tetapi bagi saya sendiri dan anak kembar saya memanglah sangat teruja," katanya

Sementara itu, Ayu yang melahirkan anak ketiganya malam kelmarin juga belum memberikan nama anak mereka itu.

Bayi lelaki itu ialah cahaya mata ketiganya hasil perkahwinan dengan Syed Fauzi Syed Baharuddin, 27.

Mereka sebelum ini sudah memiliki dua anak iaitu Syed Nasrul Haikal, 5 dan, Sharifah Alya Adriana, 2, serta seorang anak angkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM