Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Sudah enam kali Ka Lar Nar menghidap demam malaria sepanjang dia bekerja di ladang kecil di tengah hutan di tenggara Myanmar, tetapi serangan kali ini begitu sukar untuk dirawati.

Selepas menjalani ujian malaria yang menunjukkan keputusan positif, sukarelawan di pusat kesihatan di kampungnya memberikan dia ubat untuk tiga hari. Walaupun demamnya berkurangan, dia masih sakit kepala dan lebih membimbangkan, ujian lain menunjukkan Lar Nar masih positif malaria.

Pakar berkata, kes Lar Nar ini petanda kepada kerentangan ubat bagi penyakit bawaan nyamuk itu yang kini merebak ke Myanmar dan negara lain dalam lembangan Sungai Mekong. Masalah ini dikhuatiri menjadi ancaman besar kepada dunia jika ia mara ke India dan Afrika.

Menurut pakar epidemiologi, Eisa Hamid yang bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Myanmar yang bertanggungjawab memantau dan menganalisis program malaria, biasanya selepas tiga hari diberikan rawatan, darah pesakit sepatutnya bebas daripada parasit penyebab demam berkenaan.

"Jika pesakit menunjukkan keputusan positif selepas tiga hari diberikan rawatan, kami mengesyaki dia mengalami kerentangan terhadap ubat dan ujian darah yang lebih sofistikated perlu dijalankan kerana parasit penyebab malaria akan terus berada dalam darah pesakit," katanya.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kematian akibat malaria di seluruh dunia menurun 47 peratus antara tahun 2000 dan 2014, tetapi ia masih membunuh kira-kira 584,000 orang pada 2013-kebanyakannya di negara sub-Sahara Afrika.

Sebahagian besar kejayaan memerangi malaria ini disebabkan penggunaan gabungan terapi (ACT) berasaskan artemisinin iaitu terbitan daripada herba Cina. Bagaimanapun, keberkesanannya kini terancam apabila parasit malaria menjadi semakin berdaya tahan terhadap bahan aktif dalam herba Cina itu.

Pakar berkata, Myanmar yang kini menanggung beban malaria paling besar di rantau ini akan menjadi sempadan kepada penyebaran kerentangan terhadap artemisinin.

Terletak di antara Laut Andaman, Banjaran Himalaya dan bersempadan dengan China dan India-dan menjadi rumah kepada 40 peratus penduduk dunia-kedudukan Myanmar yang unik itu dapat menyekat masalah berkenaan daripada menjalar ke India dan Afrika.

"Kita perlu bertindak pantas untuk mengelakkan bencara lebih besar. Jika tidak kesan yang bakal ditanggung amat teruk," kata Pascal Ringwald daripada Program Malaria Sejagat WHO.

Jika masalah berkenaan menjalar melepasi rantau ini, bermakna sejarah silam akan berulang lagi buat kali ketiga. Satu ketika dulu di saat ubat malaria lain yang lebih kuat sedang dihasilkan, demam itu sudah merebak ke Afrika dan me­ngorbankan berjuta nyawa terutama kanak-kanak. Namun, keadaan kali ini lebih membimbangkan kerana ubat baru untuk menggantikan ACT masih belum ada.

"Kerentangan terhadap artemisinin akan menghapuskan semua usaha yang kita lakukan untuk mengekang malaria dan sehingga kini belum ada ubat boleh menggantikannya," kata Nyan Sint, pakar epidemiologi dan pegawai malaria serantau yang bekerja di bawah program kawalan malaria kebangsaan kelolaan kerajaan Myanmar.

Menurut WHO, sebelum dikenal pasti di Myanmar pada 2008, tanda kerentangan terhadap ubat ini ditemui di Kemboja dan sejak itu ia disahkan berlaku di Thailand, Laos dan Vietnam.

Mengapa dan bagaimana parasit malaria yang ada sekarang boleh mempu­nyai daya kerentangan ­tinggi terhadap ubat masih belum difahami, tetapi konflik yang berpanjangan, ketebalan hutan, migrasi dan ubat berkualiti rendah dipercayai mempunyai sumbangan dalam perkara ini.

Kos kemanusiaan dan ekonomi untuk menghentikan penyebaran parasit berdaya tahan ini boleh mencecah jumlah yang amat besar, jika merujuk kepada model yang diterbitkan dalam Jurnal Malaria bulan lalu.

Kajian berkenaan me­nganggarkan lebih 116,000 kematian setahun bakal direkodkan berbanding jumlah sekarang, jika kerentangan terhadap artemisinin tidak dihentikan. Kos perubatan boleh melebihi RM112 juta setahun, manakala kehilangan produktiviti akibat peningkatan kes dan kematian dianggarkan mencecah RM1.3 bilion.

Lebih teruk daripada Ebola?

Ini antara persoalan yang timbul dalam fikiran pakar perubatan. Francois Nosten, pakar malaria Perancis yang turut mengkaji penyakit ini di sempadan Myanmar-Thailand selama tiga dekad berkata, kerentangan terhadap ubat adalah ancaman senyap yang orang terlepas pandang apabila dunia memberi perhatian kepada ledakan Ebola di Afrika Barat.

"Anda tidak ­lihat orang mati ­bergelimpangan di tepi jalan seperti pesakit ­Ebola, tetapi ramai yang sudah sakit teruk terutama di barat Kemboja. Ini tanda ­bahawa kita perlu berusaha lebih keras untuk mengekang parasit yang berdaya tahan terhadap ubat kerana masa semakin suntuk," katanya.

Kira-kira 60 peratus daripada 51 juta rakyat Myanmar tinggal di kawasan endemik-malaria, ramai daripadanya terdiri daripada kalangan imigran dan penduduk kampung terpencil yang sukar dihubungi.

Jumlah mangsa malaria yang meninggal dunia jatuh mendadak selepas ACT digunapakai secara meluas, tetapi Myanmar masih merekodkan 333,871 kes malaria pada 2013 dengan 236 kematian (berdasarkan data WHO).

Di negeri Kayin, yang sebelum ini dikenali sebagai Karen, menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak Januari 2012 apabila konflik antara kerajaan dan Kesatuan Nasional Karen (KNU) berakhir.

Kes malaria di kampung seperti Min Saw dulu memang banyak, tetapi sejak adanya akses yang lebih baik terhadap penjagaan kesihatan, ACT, ujian diagnosis yang cepat dan pengagihan kelambu terawat dengan racun serangga membuatkan kes demam bawaan nyamuk itu turun mendadak.

"Walaupun kes malaria sudah jauh merosot berbanding dulu, tetapi kami perlukan lebih banyak latihan dan peralatan supaya keadaan bertambah baik," katanya.

Organisasi bantuan antarabangsa juga bekerjasama dengan kumpulan etnik dan kerajaan Myanmar untuk membentuk rangkaian kerja membabitkan 1,500 sukarelawan kesihatan kampung supaya mereka dapat mengagihkan ACT secara lebih berkesan.

Tetapi, beribu-ribu orang daripada 1.5 juta penduduk Kayin masih tidak mendapat kemudahan ini kerana ting­gal jauh di pedalaman dan kadangkala dikawal kumpulan etnik bersenjata yang tidak membenarkan sukarelawan kesihatan masuk ke kawasan berkenaan.

Rasa tidak percaya terhadap kerajaan masih menebal dalam hati penduduk Kayin selepas lima dekad berada di bawah pemerintahan ketenteraan Myanmar. Masih terlalu sukar untuk mereka melupakan sejarah pahit dibom, cedera akibat jerangkap samar dan dipaksa ­meninggalkan kampung halaman.

Keadaan semakin rumit dengan adanya ubat anti malaria berkualiti rendah atau palsu yang dijual di kedai kampung, kerana ia ­hanya akan menjadikan parasit malaria bertambah kuat.

"Ini masalah yang besar. Kami cuba mendidik peniaga untuk tidak menjual ubat begini selain memberitahu penduduk kampung supaya tidak membeli ubat berkenaan," kata Menteri Kesihatan Kayin, Aung Kyaw Htwe.

Di Min Saw, satu peket pil antimalaria yang ­berwarna warni dijual ­dengan harga semurah RM0.35 dan penduduk kampung seperti Ka Lar Nar, kadangkala lebih mudah membeli ubat daripada peniaga berbanding bertemu kakitangan kesihatan.

Inisiatif besar-besaran

Di bawah inisiatif tiga tahun di rantau Greater Mekong, Global Funds to Fight AIDS, Tuberculosis and Malaria memperuntukkan RM140 juta untuk membantu Myanmar menangani masalah kerentangan terhadap artemisinin.

Antara perancangannya ialah memerangi habis-habisan parasit malaria-plasmodium falciparum-apabila penggunaan kelambu, racun serangga dan rawatan tidak lagi berkesan.

Kampung dengan catatan kes malaria yang tinggi akan dibekalkan ubat secukupnya untuk diambil setiap penduduk, sama ada yang sihat atau sakit untuk menghapuskan falciparum.

Nosten yang mengetuai pasukannya membuat kajian ke atas 800 kampung di sempadan Thailand-Myanmar bagi melihat potensi rawatan besar-besaran itu berkata, usaha menghapuskan parasit itu amat mencabar kerana kes malaria sangat teruk di kawasan terpencil dan jumlah pendatang asing pula ramai.

"Sesetengah kampung hanya boleh dimasuki selepas lima hari berjalan menggunakan laluan terdekat. Namun, jika kita tidak buat secepat mungkin, saya bimbang kita akan terlambat dan lebih ramai meninggal dunia akibat malaria," katanya.

Kaedah pemberian ubat secara besar-besaran pernah dicuba sebelum ini dan kadar kejayaannya berbeza-beza. Jika parasit hanya dihapuskan daripada separuh penduduk, rancangan itu mungkin akan memberi lebih banyak masalah dan merangsang kerentangan parasit.

Ia juga memerlukan persetujuan penduduk tetapi Nosten yakin ramai orang akan memberikan kerjasama. Malah kini mereka juga mengadakan pusat saringan di lokasi yang sering dikunjungi pekerja asing di mana semua orang boleh menjalani ujian, tidak kira sama ada mereka menunjukkan gejala demam malaria atau tidak.-Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM